Agihan pendapatan ASM 3 4.75 sen seunit 

Agihan pendapatan ASM 3 4.75 sen seunit 

AGIHAN pendapatan bagi ASM 3.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 4.75 sen seunit kepada pemegang unit dana harga tetapnya, Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024. 

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu berkata, pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM837.89 juta yang akan memanfaatkan 650,487 pemegang unit yang kini memiliki 17.64 bilion unit. 

Katanya, pengagihan pendapatan sebanyak 4.75 sen seunit mengatasi penanda aras pulangan Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada paras 2.69 peratus sebanyak 206 mata asas bagi tahun kewangan sehingga 24 September 2024. 

“Pendapatan ASM 3 diperoleh daripada keuntungan yang direalisasikan, dividen serta sumber pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa. Tahun ini ASM 3 telah merekodkan RM820.32 juta pendapatan bersih terealisasi. 

“Dana tersebut juga telah mengekalkan strategi kepelbagaiannya, mengambil manfaat daripada peningkatan keyakinan dalam pasaran ekuiti tempatan dan trend positif dalam pasaran global, yang dipacu oleh kemajuan teknologi,” katanya dalam kenyataan.

ASNB berkata, pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASM 3 adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut. 

“Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 3 akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Oktober 2024. 

“Urus niaga ASM 3 di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 28 hingga 30 September 2024,” ujarnya.

Tambahnya, pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau melalui aplikasi mudah alih myASNB atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 1 Oktober 2024.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN