PETALING JAYA: AEON Bank (M) Berhad (AEON Bank), bank digital Islamik pertama di Malaysia telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaya (UM), universiti awam terulung di negara ini melambangkan usaha ke arah memacu kolaborasi industri-akademik.
MoU tersebut melibatkan UM dan rakan-rakan industri terpilih termasuk AEON Bank, Calisto, China State Construction Engineering, Hirose Electric, Medika Natura, Kibing Solar, Nutrigene Modern Sciences, Petron, PMB Silicon, Prasarana Malaysia dan Tomei Gold & Jewellery.
Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank (M) Berhad, Raja Teh Maimunah berkata, digitalisasi merupakan masa hadapan sektor kewangan, maka, MoU ini akan memacu sinergi dinamik antara AEON Bank dan Universiti Malaya yang akan memberi manfaat kepada ribuan para pelajar.
Katanya, ia akan membuka peluang yang lebih luas untuk meneroka program khusus teknologi dan inisiatif kewangan patuh Syariah, di samping menggandakan inisiatif literasi kewangan bersama para pelajar.
“Kesemua ini adalah pemacu utama bagi memperkasakan generasi yang lebih inklusif serta berdaya saing yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan.
“Di samping itu, kami juga berhasrat dapat mengoptimumkan kepakaran Universiti Malaya dalam bidang penyelidikan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ir. Dr. Ramesh Singh Kuldip Singh menekankan, kerjasama ini adalah komitmen bersama kami untuk memajukan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan dan kajian inovatif, geran, pembangunan pelajar, latihan kakitangan, biasiswa serta program berasaskan komuniti.
“Perkongsian yang terjalin melalui perjanjian ini akan meningkatkan keupayaan penyelidikan kami, sambil membuka jalan untuk penemuan yang akan memberdayakan pelajar kami dan
memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemain industri atas komitmen mereka, dan saya teruja tentang kemungkinan yang akan datang,” katanya.
Menurut beliau, perkongsian ini bermatlamat untuk merapatkan jurang antara ahli akademik dan industri, memberikan para pelajar kemahiran dan pengetahuan bermanfaat yang akan meletakkan mereka di landasan betul untuk berjaya di dalam dunia digital yang semakin berkembang.
Berkuat kuasa bagi tempoh selama dua tahun, AEON Bank dan UM akan bekerjasama rapat di dalam skop berikut seperti kolaborasi di dalam projek berteraskan teknologi, termasuk penyelesaian perbankan digital, serta menyokong penubuhan hab pementoran inovasi fintech.
“Kami akan berkongsi kepakaran di dalam ‘cloud architechture’, analitik data, optimisasi AI/ML dan program yang menambah baik pengalaman pelanggan dan pencegahan penipuan, mempromosikan nilai dan manfaat produk dan perkhidmatan perbankan digital patuh syariah dalam kalangan pelajar.
“Selain itu, terdapat bengkel-bengkel pendidikan berkaitan fintech berhemah, mendorong penggunaan aplikasi perbankan digital menerusi promosi di kampus untuk membantu para pelajar membiasakan diri dengan penyelesaian kewangan berteknologi serta menyediakan akses kepada latihan industri bagi para pelajar menerusi latihan amali, bengkel peningkatan kemahiran, serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.
Sebagai bank digital islamik pertama di Malaysia, AEON Bank dilesenkan dan diregulasikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan Malaysia.
Ia merupakan sebahagian daripada Kumpulan AEON, sebuah syarikat global dengan ekosistem runcit dan perkhidmatan kewangan yang mantap.
Sebagai entiti cloud native, AEON Bank giat membangunkan data ‘architecture’ tersendiri, dengan kerjasama bersama rakan perniagaan ke perniagaan (B2B) seperti Amazon Web Services (AWS).
Kini, AEON Bank menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan peribadi patuh syariah, seperti Akaun-i Simpanan deposit, AEON Bank x Visa Debit Card-i, Savings Pot, fungsi perancang kewangan serta perkhidmatan pembayaran digital dengan rakan kongsi strategik, dan juga DuitNow dan pembayaran bil utiliti. – UTUSAN