Xinda labur RM2.3j jalankan perlombongan, cari gali batuan kuarza

Xinda labur RM2.3 bilion jalankan perlombongan, cari gali batuan kuarza

TENGKU Hassan Tengku Omar (dua, kiri) melihat antara produk seramik yang dihasilkan dengan batuan kuarza pada majlis perasmian ibu pejabat Xinda di Chukai, Kemaman, Terengganu, semalam.-UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Syarikat Xinda Development Sdn. Bhd. (Xinda) melabur sebanyak RM2.3 bilion untuk menjalankan aktiviti perlombongan dan cari gali batuan kuarza di Bandar Baru Cheneh di sini, bermula awal tahun depan.

Pengerusi Xinda, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, perindustrian batu kuarza yang pertama di negeri ini bagi pengeluaran bahan binaan seramik itu bakal mewujudkan lebih 3,700 peluang pekerjaan.

Menurutnya, pembangunan fasa pertama akan melibatkan pelaburan RM600 juta dengan memfokuskan bahan binaan daripada kuarza dan produk bahan binaan bagi tujuan eksport. 

“Fasa pertama ini turut melibatkan kerja-kerja perlombongan dan pembinaan kilang meliputi keseluruhan kawasan yang dianggarkan seluas 48 hektar di Cheneh.

“Pembinaan kilang di atas tanah yang berkeluasan 28 hektar dijangka  bermula awal tahun depan, manakala fasa kedua pula melibatkan kawasan pembangunan kira-kira 72 hektar di Teluk Kalong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pejabat Xinda di Chukai di sini, semalam.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili.

Tengku Hassan berkata, pihaknya turut memeterai perjanjian bersama Permodalan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) untuk pajakan tanah sepanjang 60 tahun tempoh operasi untuk perlombongan tersebut.

“Sebelum ini, kajian perintis mengenai kebolehlaksanaan dalam industri perlombongan batu kuarza untuk pembuatan slab ini telah dilaksanakan terlebih dahulu sebelum pelaburan dilakukan.

“Pengeluaran batu kuarza dari lombong tersebut akan diproses menjadi semi produk dan melalui proses pembuatan hingga siap,” katanya.

Tengku Hassan berkata, Xinda yang merupakan sebuah anak syarikat dari China yang berdaftar di Malaysia akan melaksanakan aktiviti pembangunan dan pengurusan taman industri, berfungsi penuh dalam aktiviti operasi pengurusan, perdagangan dan perniagaan import dan eksport bagi produk yang dikeluarkan oleh anak-anak syarikat di negara ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN