Wai Hong Brothers rancang disenarai di Pasaran ACE 2025

Wai Hong Brothers rancang disenarai di Pasaran ACE 2025

TAN Su Kim, lebih dikenali sebagai Mr Wai (hadapan, berbaju putih), bergambar bersama sebahagian pekerja Wai Hong Brothers Sdn. Bhd. di Serdang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Syarikat Wai Hong Brothers Sdn. Bhd. (WHB) merancang untuk terbitan Tawaran Awam Permulaan (IPO) bagi penyenaraian di Pasaran ACE, Bursa Malaysia pada tahun hadapan.

WHB diasaskan pada 2001, merupakan pakar pembaikan bumbung terkemuka di negara ini dengan mendapat dua pengiktirafan antarabangsa iaitu ISO 9001:2015 dan ISO 45001:2018.

Penyenaraian itu merupakan sebahagian usaha Syarikat untuk mengumpul dana bagi mengembangkan lagi perniagaan di dalam dan luar negara.

Antara pasaran luar yang diintai ialah Kanada, Kemboja, Filipina, Thailand, Indonesia dan Australia. Bagi pasaran tempatan pula Melaka, Sabah dan Sarawak.

Terbitan IPO tersebut juga bakal membolehkan Syarikat mengatur pelan pengembangan perniagaannya termasuk inisiatif penggabungan dan pengambilalihan (M&A) entiti strategik.

Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan Syarikat itu, Tan Su Kim atau lebih dikenali sebagai Mr Wai, 44, di bawah rancangan itu Syarikat akan menawarkan pegangan saham kepada pekerjanya yang dianggarkan berjumlah 700 orang di seluruh negara.

Kata beliau, tawaran itu sebagai menghargai komitmen pekerja dalam memacu kejayaan Syarikat selama ini. Beliau percaya, pekerja adalah aset terbesar Syarikat, jadi keselamatan dan kebajikan mereka perlu diambil berat.

Selain itu katanya, dengan memberikan pekerja rasa selamat yang mencukupi dan meningkatkan pendapatan mereka, ia akan melahirkan rasa `setia’ kepada syarikat dan akan terus berkembang bersama Syarikat.

“Syarikat juga akan menggabungkan cawangan bagi membentuk sebuah syarikat ‘Holdings’ (syarikat induk).

“Masa hadapan Syarikat sebenarnya bukan bergantung kepada berasa besar IPO yang dikumpul, sebaliknya pelabur ingin melihat pelan masa hadapan Syarikat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

TAN SU KIM @ MR WAI

Mr Wai turun berkongsi fokus Syarikat terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang bakal memainkan peranan penting memacu petumbuhan mampan WHB pada masa hadapan.

Ia sekali gus akan mengukuhkan kedudukan WHB dalam industri di peringkat tempatan dan global.

“Cabaran masa hadapan adalah sejauh mana Syarikat mengadaptasi penggunaan teknologi. Ini kerana, tidak bermakna jika pasaran (projek) ada, tetapi tiada sumber (tenaga kerja) untuk melaksanakannya,” katanya.

Mengenai sasaran jualan, beliau berkata, tahun ini Syarikat menyasarkan jualan sebanyak RM80 juta, peningkatan sekali ganda berbanding tahun lalu.

“Pada tahun depan, kita sasarkan jualan meningkat kepada RM160 juta. Untuk mencapai sasaran ini, Syarikat akan mempelbagaikan perniagaan termasuk dalam bidang solar,” jelas beliau.

Menyentuh peranan kecerdasan buatan (AI), Mr Wai berkata, AI membantu dari segi operasi Syarikat dalam aspek penilaian serta pemeriksaan ke atas premis (bumbung rosak atau bocor) yang mungkin sukar dihampiri oleh manusia.

“Namun, AI tidak mungkin dapat mengambilalih kemahiran manusia dalam kerja-kerja pembaikan bumbung,” katanya.

Dalam pada itu, Mr Wai turut berkongsi pendekatan beliau menggunakan platform media sosial iaitu TikTok, untuk berkomunikasi secara langsung dengan pengguna.

Menurutnya, beliau tidak `gentar’ untuk berdepan dengan pengguna dan ia terbukti apabila beliau kini mempunyai lebih 300,000 pengikut, sekali gus membantunya mengukuhkan kehadiran WHB dalam pasaran.

Ketika ini, antara syarikat yang mendapatkan khidmat kepakaran WHB termasuk Pavilion Kuala Lumpur, Sunway (Sunway Velocity Mall), TNB (Wisma TNB Kepong), ECO World dan ECO Sanctuary Residential Area, Resort World Genting, AEON Mall (Bandaraya Melaka), IOI Mall Puchong, Celcom (kilang Celcomdi Shah Alam) dan rumah-rumah ibadah termasuk masjid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN