Ringgit antara mata wang berprestasi terbaik di Asia - Utusan Malaysia

Ringgit antara mata wang berprestasi terbaik di Asia

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai ringgit bukan sahaja mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), malah turut mencatatkan prestasi positif berbanding dolar Singapura sekali gus menjadi antara mata wang berprestasi terbaik di Asia.

Mata wang tempatan mengukuh kepada RM3.30 sedolar Singapura pada tengah hari semalam, berbanding paras terendahnya RM3.57 yang dicatatkan pada 21 Februari lalu.

Berbanding dolar AS pula, ringgit mengukuh pada 4.2940/3000 di awal dagangan sebelum ditutup pada 4.2630/2750.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, ringgit dijangka mengukuh sehingga RM4.25 berbanding dolar AS pada minggu ini, didorong oleh asas ekonomi yang kuat serta tanda-tanda Rizab Persekutuan (Fed) AS menurunkan kadar faedah pada mesyuarat minggu ini.

Ujarnya, sesetengah ramalan juga mengatakan mata wang negara mampu mencapai sehingga RM4.15 dalam masa dua bulan lagi.

Katanya, Malaysia yang menyatakan minat untuk menyertai kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) juga mampu menambah keyakinan pelabur luar terhadap negara ini.

“Buat masa ini, kita cuma memberitahu bahawa Malaysia berminat untuk menyertai BRICS dan mendapat sokongan negara-negara penerajunya. Tetapi secara rasminya belum lagi menyertainya.

“Jika Malaysia diterima masuk semasa Persidangan BRICS 2024 yang akan berlangsung di Kazan (22 hingga 24 Oktober ini), kita dapat melonjakkan ekonomi dengan lebih cepat lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Baharom berkata, pasaran saham tempatan pula dijangka diniaga bercampur-campur, namun akan mengekalkan momentum pertumbuhan, didorong oleh keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi dan politik Malaysia.

“Suku terakhir tahun ini dipercayai akan terus cemerlang. Ringgit akan mengukuh dan Bursa Malaysia akan terus didagangkan melepasi 1,650. Jika ada aktiviti mengambil keuntungan, itu adalah perkara biasa.

“Unjuran pengumuman penurunan kadar faedah oleh Fed AS, akan membuatkan pelabur asing mencari pasaran baharu termasuk Malaysia bagi membuat pelaburan kerana lebih menarik,” ujarnya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata, ringgit dijangka mengukuh berikutan unjuran Fed akan memulakan pemotongan kadar faedah yang pertama dalam masa hampir dua tahun.

Menurutnya, aliran pelaburan telah pun mula mengalir keluar dari AS dan menghala ke negara-negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Filipina, iaitu mereka membeli bon-bon terbitan kerajaan dan juga pasaran ekuiti.

“Aliran masuk tersebut telah membantu menjadikan mata wang negara Asia Tenggara sebagai prestasi terbaik dalam pasaran baru muncul suku ini. Ringgit dijangka mengukuh hingga ke aras sokongan RM4.25 kepada RM4.29 minggu ini.

“Indeks Dolar AS (DXY) yang menjadi penanda aras kepada kekuatan nilai dolar AS sudah pun menurun 0.75 peratus dalam tempoh seminggu dan masih turun kepada paras yang rendah iaitu 100.87 mata sahaja.

“Kadar faedah Nota Terbitan Perbendaharaan AS pula masih bertahan pada empat peratus untuk satu tahun, manakala untuk tiga dan lima tahun pula kekal pada aras tiga peratus sahaja,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya