PETALING JAYA: Jumlah pengangguran pada Julai 2024 terus berkurang kepada 563,700 orang berbanding 565,300 orang pada bulan Jun 2024 dengan kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara kekal stabil, selaras dengan pertumbuhan pesat ekonomi negara yang menunjukkan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur semakin berkurangan.
“Bilangan tenaga buruh pada Julai 2024 bertambah 0.1 peratus kepada 17.20 juta orang berbanding 17.17 juta pada Jun 2024.
“Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.4 peratus, sama seperti bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.63 juta orang berbanding 16.61 juta pada.
“Pada Julai 2024, sebahagian besar penduduk bekerja adalah dalam kategori pekerja, merangkumi 75.0 peratus, meningkat 0.1 peratus kepada 12.48 juta orang berbanding 12.46 juta pada bulan sebelum.
“Sementara itu, penduduk bekerja sendiri terus meningkat, bertambah 0.3 peratus kepada 3.07 juta orang (Jun 2024: 3.06 juta orang),” katanya.
Dari segi sektor ekonomi, katanya, sektor perkhidmatan mencatatkan peningkatan ketara dalam bilangan penduduk bekerja, terutama dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan.
“Sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian juga menunjukkan peningkatan dalam guna tenaga,” ujarnya.
Mengenai pengangguran, beliau menjelaskan, 80 peratus daripada jumlah penganggur adalah mereka yang bersedia dan aktif mencari pekerjaan (penganggur aktif), menurun 0.3 peratus kepada 450,700 orang berbanding 451,900 orang pada Jun.
“Daripada jumlah ini, 61.5 peratus telah menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.9 peratus adalah penganggur jangka panjang (lebih daripada setahun).
“Penganggur tidak aktif, iaitu mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia, turut menurun 0.4 peratus kepada 113,000 orang (Jun 2024: 113,400 orang).
“Kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun pada Julai 2024 kekal pada 10.5 peratus dengan 304,500 belia penganggur (Jun 2024: 305,000 orang).
“Kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 30 tahun juga tidak berubah pada 6.5 peratus, dengan jumlah penganggur belia seramai 433,100 orang (Jun 2024: 434,200 orang),” katanya.
Tambahnya, bilangan penduduk di luar tenaga buruh menurun sedikit sebanyak 0.01 peratus kepada 7.23 juta orang berbanding 7.23 juta pada Jun.
“Sebanyak 42.8 peratus daripadanya menjalankan kerja rumah atau tanggungjawab keluarga, manakala 41.4 peratus sedang bersekolah atau menjalani latihan,” katanya-UTUSAN