PETALING JAYA: Bursa Malaysia turun 3.52 mata kepada 1,665.30 pada pukul 5 petang hari ini, berbanding 1,668.72 pada penutup Jumaat.
Indeks dibuka tinggi pada 1,669.91.
Jumlah dagangan sebanyak 3.34 bilion unit bernilai RM3.15 bilion.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 675 berbanding 458 dengan 500 kaunter tidak berubah dan 894 tidak diniagakan.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi Bursa Malaysia sedikit merosot pada hari ini berikutan kegiatan aktiviti pengambilan untung.
“Selain itu, situasi ekonomi China turut dilihat menjadi fokus apabila bank pusat mereka menurunkan kadar faedah bagi menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, jangkaan lebih banyak lagi rangsangan ekonomi yang bakal diumumkan oleh kerajaan China juga bakal menjadi tumpuan.
“Hal ini disebabkan kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi negara itu yang dijangka sukar untuk mencapai sasaran pertumbuhan lima peratus pada tahun ini. – UTUSAN