PETALING JAYA: Bursa Malaysia meningkat 2.73 mata kepada 1,642.53 pada pukul 9.05 pagi hari ini, berbanding 1,639.80 pada penutup Rabu.
Indeks penanda aras dibuka rendah pada 1,644.04.
Jumlah dagangan sebanyak 71.56 juta unit bernilai RM47.61 juta.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 219 berbanding 84 dengan 198 kaunter tidak berubah dan 1,965 tidak diniagakan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran saham dijangka bergerak positif hari ini berikutan prestasi pasarana Wall Street yang memberangsangkan.
Jelas beliau, data ekonomi di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan bahawa kadar inflasi di negara tersebut rata-ratanya stabil dengan kadar inflasi merosot ke paras 2.5 peratus pada Ogos berbanding 2.9 peratus pada bulan sebelumnya.
“Namun data bulan ke bulan kadar inflasi teras meningkat kepada 0.3 peratus berbanding 0.2 peratus pada Julai dan 0.1 peratus pada bulan Jun.
“Situasi ini menunjukkan bahawa permasalahan inflasi masih lagi menjadi isu utama dalam pengurusan makroekonomi. Jadi, Rizab Persekutuan (Fed) dilihat bakal menurunkan kadar faedah secara beransur-ansur disebabkan permasalahan inflasi yang masih wujud.
“Justeru, pasaran saham di Malaysia dijangka akan mendapat kesan positif disebabkan penurunan kadar faedah secara perlahan menggambarkan kedudukan ekonomi AS yang masih lagi sihat,” katanya. – UTUSAN