Malaysia tempat kedua dalam pengalaman kelajuan muat turun 5G

Malaysia tempat kedua dalam pengalaman kelajuan muat turun 5G di Asia Pasifik 

U mobile
Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menduduki tempat kedua dalam pengalaman kelajuan muat turun 5G dan ketiga dalam pengalaman kelajuan muat naik 5G di Asia Pasifik, menurut laporan terkini Opensignal.

Laporan Penanda Aras Pengalaman Rangkaian Mudah Alih Asia Pasifik – September 2024 yang berdasarkan data dari 1 April hingga 30 Jun 2024 itu memperlihatkan Malaysia mencatatkan markah 295.5 megabait sesaat (Mbps) bagi pengalaman kelajuan muat turun 5G, tempat kedua selepas Korea Selatan.

Laporan oleh syarikat analitik rangkaian terkemuka itu turut menunjukkan Malaysia mencatatkan 34 Mbps bagi pengalaman kelajuan muat naik 5G, sekali gus menduduki tempat ketiga selepas Korea Selatan dan Taiwan.

Opensignal dalam kenyataan berkata, prestasi itu dicapai melalui rangkaian borong 5G Malaysia dengan ketersediaan 5G berada di kedudukan lima teratas untuk pasaran Asia Pasifik pada 31.8 peratus.

“Walaupun prestasi positif ini dari perspektif rangkaian, pengendali rangkaian mudah alih (MNO) Malaysia kini sedang membida untuk membina rangkaian 5G kedua negara,” katanya.

Sementara itu, dalam kelompok negara yang berada di peringkat awal menggunakan rangkaian 5G, laporan terkini Opensignal itu menunjukkan India, Sri Lanka dan Malaysia telah menyaksikan peningkatan kelajuan terbesar antara 4G dan 5G.

Menurut laporan itu, walaupun peningkatan 4G kepada 5G di Sri Lanka untuk kelajuan muat turun adalah jauh lebih tinggi berbanding Malaysia, kurang dua peratus pangkalan Sri Lanka adalah pada peranti berkemampuan 5G.

Untuk Malaysia pula, katanya, lebih 37 peratus daripada jumlah sambungan di negara ini adalah sambungan 5G, menurut GSMA Intelligence.

Secara keseluruhan, Laporan Opensignal itu menunjukkan pengguna Korea Selatan menikmati kelajuan muat turun dan muat naik keseluruhan terpantas, masing-masing 133.3Mbps dan 21.4Mbps.

Dalam pada itu, Korea Selatan mendapat manfaat daripada peratusan tertinggi sambungan 5G di rantau Asia Pasifik, dengan 5G merangkumi lebih separuh daripada semua sambungan di negara itu, mengikut data GSMA Intelligence.

“Sementara itu, Singapura dan Taiwan menduduki tempat kedua dan ketiga untuk pengalaman kelajuan muat turun, manakala Vietnam adalah tempat kedua bagi pengalaman kelajuan muat naik, mendahului Singapura di Asia Pasifik.

“Pengalaman liputan 5G Opensignal mengukur liputan geografi 5G kawasan berpenduduk untuk menggambarkan dengan tepat jangkaan liputan dan pengalaman pengguna biasa.

“Singapura terserlah dengan liputan 5G yang hampir universal, sementara Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Australia mengambil tempat seterusnya sebelum jurang yang besar memisahkan mereka daripada negara Asia Pasifik lain yang mempunyai rangkaian 5G,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya