SERDANG: Agrobank memeriahkan sambutan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 dengan penganjuran Colours Of Agri Run, acara larian sejauh lima kilometer yang berjaya menarik lebih 1,500 peserta.
Inisiatif itu merupakan salah satu usaha Agrobank untuk meningkatkan jumlah pengunjung ke MAHA selain memberikan pengalaman yang unik, lebih-lebih lagi bersempena ulang tahun ke-100 pameran ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Agri Run yang dianjurkan kali ini membawa kelainan dengan mengetengahkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan.
“Sebagai tambahan, setiap peserta Agri Run secara automatik didaftarkan untuk perlindungan takaful dengan pelbagai manfaat.
“Perlindungan ini, termasuk perlindungan kematian akibat kemalangan, hilang upaya kekal, perbelanjaan pengebumian, elaun wad, serta kos rawatan dengan bayaran serendah RM10.80 setahun, dan perlindungan sehingga RM10,000,” katanya ketika ditemui selepas pelepasan larian Colors Of Agro 2024, di sini semalam.
Beliau berkata, acara larian tersebut turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik seperti jam pintar, gajet dan pelbagai lagi.
“Sempena MAHA 2024, Agrobank turut memperkenalkan beberapa kempen istimewa termasuk Kempen AgroMAHA Menang Motosikal Setiap Hari, serta menyediakan pelbagai aktiviti khas untuk golongan belia di Booth Agro Youth,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, lebih tiga juta orang telah mengunjungi MAHA 2024 setakat semalam.
“Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan dan kami mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk datang memeriahkan lagi acara ini. Selain itu, hadiah menarik juga menanti pengunjung ke-5 juta yang bakal hadir ke MAHA 2024,” katanya. – UTUSAN