Kerajaan dijangka beri banyak insentif galak permintaan EV

Kerajaan dijangka beri banyak insentif galak permintaan EV

SUBSIDI petrol bersasar yang dijangka dilaksanakan kerajaan mungkin meningkatan minat golongan M40 kepada EV.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenanga Research menjangkakan kerajaan akan memberikan lebih banyak insentif bagi menggalakkan permintaan kenderaan elektrik (EV) dalam kalangan rakyat Malaysia.

Firma penyelidikan itu berkata, ini sejajar dengan sasaran nasional untuk EV dan kenderaan hibrid sebanyak 15 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) menjelang tahun 2030 dan seterusnya sehingga 38 peratus menjelang 2040.

“Sekarang ini jualan kenderaan disokong oleh kenderaan elektrik bateri (BEV) baharu yang menikmati pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan insentif kemudahan EV sehingga 2025 untuk CBU (import sepenuhnya) dan 2027 untuk CKD (pemasangan tempatan).

“Pendaftaran baharu untuk BEV melonjak daripada 274 unit pada 2021 kepada lebih 3,400 unit pada 2022, 10,159 unit pada 2023 dan 6,617 unit untuk separuh pertama 2024 (laporan suku tahunan),” katanya dalam nota penyelidikan. 

Menurut Kenanga Research, penyasaran subsidi bahan api petrol yang dijangka dilaksanakan kerajaan juga mungkin meningkatan minat golongan M40 kepada EV.

“Kumpulan M40 mungkin menahan diri daripada membeli kereta baharu atau mereka mungkin memilih untuk beralih kepada kereta yang lebih kecil atau beralih ke EV untuk mengurangkan bil bahan api mereka selepas pengenalan rasionalisasi subsidi bahan api,” katanya. 

Sementara itu, kata firma penyelidikan tersebut, kerajaan Malaysia juga akan mempercepatkan kelulusan untuk stesen pengecas di seluruh negara.

“Jumlah stesen pengecas yang beroperasi kini sebanyak 3,951 dijangka meningkat hampir tiga kali ganda kepada 10,000 menjelang akhir tahun ini,” katanya. 

Firma penyelidikan itu juga turut mengekalkan ramalan jualan kenderaan baharu di Malaysia untuk 2024, yang juga dikenali sebagai TIV sebanyak 740,000 unit (lapan peratus lebih rendah), yang sedikit lebih konservatif berbanding ramalan 765,000 unit oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Secara umum, firma berkata, tahap keterlihatan pendapatan industri mash baik, disokong oleh baki tempahan sebanyak 170,000 unit pada akhir Julai 2024, tidak berubah dari sebulan yang lalu.

“Lebih daripada separuh baki tersebut terdiri daripada model baharu, menunjukkan daya tarikan model baharu kepada pembeli kereta,” jelasnya yang menggariska rasionalisasi subsidi petrol dan pelaksanaan e-invois boleh memberikan tekanan kepada jualan kenderaan pada suku kedua 2024. 

Pilihan utama Kenanga Research bagi sektor automotif adalah MBM Resources Bhd. dengan saranan ‘outperform’ dan harga sasaran (TP) RM6.30 sesaham yang merupakan pilihan yang baik untuk jenama Perodua yang mampu milik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN