PETALING JAYA: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjur berkembang dengan lebih kuat pada +5.0 peratus tahun ini berbanding 3.6 peratus pada 2023.
MIDF Research berkata, pendorong utama pertumbuhan itu adalah pertumbuhan berterusan dalam permintaan domestik, apabila pengguna dan perniagaan meningkatkan perbelanjaan mereka.
“Keadaan pasaran buruh yang sihat, peningkatan pendapatan, dan ketibaan pelancong asing yang semakin meningkat (dan perbelanjaan mereka) juga akan menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih tinggi dalam perbelanjaan penggunaan.
“Pada masa yang sama, kemampuan untuk mengakses Akaun Fleksibel 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah faktor lain yang menyokong pertumbuhan penggunaan domestik tahun ini.
“Selain itu, ekonomi juga akan kembali beroperasi dengan dua enjin, disokong oleh pemulihan dalam aktiviti perdagangan luar,” katanya dalam nota penyelidikan.
MIDF Research bagaimanapun berkata, KDNK dijangka meningkat pada +4.6 peratus pada tahun depan iaitu tahap yang lebih normal.
Jelas firma penyelidikan itu, walaupun asas pertumbuhan akan berterusan hingga tahun depan, berdasarkan pengiraan awal kami, kami meramalkan pertumbuhan KDNK akan berada pada tahap yang lebih normal iaitu +4.6 peratus tahun depan, dengan jangkaan pengembangan berterusan dalam permintaan domestik dan luar.
“Keadaan pasaran buruh yang sihat dan kenaikan gaji bagi penjawat awam yang dijangka akan menjadi faktor positif yang menyokong aktiviti perbelanjaan pada 2025.
“Namun, peningkatan kos sara hidup dan potensi inflasi yang lebih tinggi akibat daripada rasionalisasi subsidi akan terus mempengaruhi sentimen pengguna. Perbelanjaan pelaburan akan terus berkembang seiring dengan peningkatan permintaan domestik dan luar.
“Pemulihan dalam perdagangan luar juga akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi. Kami menjangkakan imbangan dagangan akan bertambah baik apabila pertumbuhan import akan kembali normal, memandangkan kesan peningkatan import barang modal untuk pemasangan pusat data semakin berkurangan,” katanya.
MIDF Research berkata, pada lapan bulan pertama tahun ini, eksport Malaysia telah pulih dengan pertumbuhan sebanyak 6.0 peratus tahun ke tahun berbanding, 2023 sebanyak -8.0 peratus.
Menurut firma penyelidikan itu, pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan eksport barang pertanian sebanyak 9.3 peratus tahun ke tahun dan barang pembuatan 6.0 peratus tahun ke tahun.
“Pertumbuhan kukuh dalam eksport minyak sawit yang meningkat sebanyak +9.9 peratus tahun ke tahun, telah menyumbang kepada prestasi eksport pertanian yang memberangsangkan.
“Eksport barang pembuatan disokong oleh penghantaran mesin, peralatan & komponen +24.1 peratus tahun ke tahun dan pembuatan logam +10.7 peratus tahun ke tahun.
“Kenaikan terbaharu dalam eksport Elektronik dan Elektrik (E&E) kepada +14.5 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2024 juga menyumbang kepada pemulihan prestasi eksport sektor tersebut, yang kembali meningkat kepada +0.8 peratus tahun ke tahun dalam lapan bulan pertama tahun ini (2023: -3.0 peratus),” katanya.
MIDF Research juga melihat pertumbuhan eksport tahun ini didorong lebih oleh peningkatan eksport domestik (pada lapan bulan pertama 2024 iaitu 10.2 peratus tahun ke tahun) yang lebih daripada menampung penurunan dalam re-eksport (9.0 peratus tahun ke tahun).
“Untuk keseluruhan tahun, kami meramalkan eksport akan pulih dan berkembang sebanyak 5.2 peratus kerana Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan luar, termasuk peningkatan dalam perdagangan E&E global,”katanya.
MIDF Research turut memaklumkan, dengan inflasi berada dalam kawalan, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus pada 2024.
“Kami tidak menjangka terdapat tekanan permintaan yang kuat terhadap harga, kerana tiada trend peningkatan mendadak dalam inflasi teras.
“Walaupun punca utama inflasi mungkin berpunca daripada perubahan dasar, sebarang kenaikan lanjut dalam OPR akan memberikan kesan yang lebih besar kepada isi rumah (dari segi inflasi yang lebih tinggi dan bayaran balik pinjaman),” katanya.
Dalam pada itu, sebagai pilihan dasar yang berhati-hati, firma penyelidikan itu percaya BNM akan mengekalkan OPR pada tahap semasa, yang dianggap menyokong kelestarian pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.
Jelas firma penyelidikan itu, dalam jangka panjang, pihaknya juga percaya BNM akan terus memberi tumpuan untuk tidak menggalakkan kebergantungan yang lebih tinggi terhadap hutang dalam kalangan isi rumah Malaysia.
“Walau bagaimanapun, terdapat ruang bagi BNM untuk bertindak (contohnya, memotong kadar) jika keadaan ekonomi menunjukkan tanda-tanda kelemahan.
“Pada masa yang sama, kami tidak menjangkakan BNM akan mengikuti keputusan Fed secara langsung dengan memotong kadar.
“Kami percaya sebarang perubahan terhadap OPR akan dipandu terutamanya oleh perkembangan ekonomi dan harga di Malaysia,” katanya.-UTUSAN