PETALING JAYA: Inflasi di Malaysia kekal di bawah 2.0 peratus selama 13 bulan berturut-turut, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata, angka itu kekal walaupun terdapat gangguan global daripada gelombang haba, banjir dan ribut yang mempengaruhi hasil tanaman hingga krisis pengangkutan di Laut Merah, faktor domestik seperti rasionalisasi subsidi diesel serta penarikan balik akaun fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Simpanan Persaraan (KWSP).
“Penurunan ini sebahagiannya disebabkan oleh kos input import yang lebih murah, dibantu oleh ringgit yang lebih kuat antara mata wang yang paling berprestasi di dunia setakat ini.
“Namun, kenaikan gaji kerajaan, Belanjawan 2025 dan rasionalisasi subsidi RON95 dijangka mendorong inflasi melebihi 3.0 peratus tahun depan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut Kenanga Research, dengan tekanan harga yang menyederhana dan prospek ekonomi yang stabil, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka tidak akan tergesa-gesa untuk menyemak Kadar Dasar Semalam (OPR), sekurang-kurangnya untuk 12 hingga 15 bulan akan datang.
“Walau bagaimanapun, keputusan dasar fiskal masih boleh mempengaruhi pendirian bank pusat,” katanya.
Selain itu, firma penyelidikan itu berkata, inflasi utama merosot ke tahap terendah dalam empat bulan sebanyak 1.9 peratus tahun ke tahun pada Ogos berbanding Julai sebanyak 2.0 peratus, sedikit di bawah jangkaan dan konsensus pasaran sebanyak 2.0 peratus, terutamanya disebabkan oleh harga makanan.
“Walaupun kos sewa meningkat, inflasi dikawal oleh penurunan dalam beberapa komponen utama, termasuk restoran dan hotel, pengangkutan, pakaian dan perabot. Harga makanan dan minuman bukan alkohol yang lembab juga memberi kesan negatif kepada angka utama.
“Dari segi bulanan, inflasi kekal tidak berubah pada 0.08 peratus (Julai 0.08 peratus), kerana peningkatan kos perumahan diimbangi oleh harga makanan yang stabil dan penurunan dalam kos pengangkutan.
“Inflasi teras kekal stabil pada 1.9 peratus tahun ke tahun tetapi meningkat sedikit sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan berbanding Julai, 0.1 peratus disebabkan oleh kenaikan dalam kos tempat tinggal,” katanya.
Dalam pada itu, Kenanga Research menjangkakan kenaikan kos pengangkutan dan perumahan diimbangi oleh inflasi makanan yang lembab iaitu, makanan dan minuman bukan alkohol 1.6 peratus (Julai 1.6 peratus kekal tidak berubah) pada tahap terendah dalam tiga tahun, dengan kenaikan harga susu, produk tenusu dan telur (0.1 peratus berbanding Julai 0.4 peratus mengimbangi penurunan harga daging segar (-1.1 peratus, Julai , 0.2 peratus).
“Selain itu, pengangkutan (1.3 peratus; Julai 1.2 peratus) meningkat sedikit, didorong oleh pemulihan mendadak dalam tambang penerbangan 8.2 peratus (Julai , -1.5 peratus).
“Namun, pertumbuhan bulanan perlahan kepada 0.1 peratus (Julai 0.2 peratus) disebabkan penurunan 1.2 peratus dalam harga diesel berbanding Julai 5.8 peratus, mencerminkan penurunan permintaan minyak global,” katanya.
Sementara itu, bagi restoran dan hotel (3.1 peratus berbanding Julai 2.9 peratus) meningkat kepada tahap tertinggi dalam dua bulan, terutamanya disebabkan oleh kenaikan 1.7 peratus dalam kos sewa Julai 1.4 peratus dan peningkatan 0.4 peratus dalam kos bahan untuk penyelenggaraan dan pembaikan kediaman Julai 0.3 peratus.-UTUSAN