Industri solar negara kekurangan tenaga mahir

Industri solar negara kekurangan tenaga mahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor industri solar di negara ini berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga kerja mahir yang serius terutama bagi kerja-kerja pemasangan.

Masalah itu menyebabkan para pemain industri dalam sektor tenaga boleh baharu menghadapi kesukaran mendapatkan tenaga kerja berkelayakan bagi mengisi kekosongan dalam sektor berkenaan.

Akibatnya, mereka terpaksa mengupah pekerja kurang mahir dan tiada kepakaran yang dibimbangi boleh menjejaskan qualiti serta khidmat yang disediakan.

enegem
Ir. Guntor Tobeng

Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, ditambah pula dengan polisi seperti Skim Insentif Solar Untuk Rakyat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah meningkatkan permintaan untuk jurutera berdaftar di pasaran.

“Kehadiran pemain-pemain baharu dalam sektor ini turut meningkatkan lagi persaingan yang menyebabkan kami berhadapan dengan masalah untuk menggaji pekerja-pekerja yang berkelayakan,” katanya.

Gading Kencana merupakan salah sebuah syarikat peneraju dalam tenaga boleh baharu di negara ini.

Menurut beliau, masalah paling besar ialah kekurangan Jurutera Kompeten Elektrik (JKE) 132kv kerana setiap lesen penjanaan tenaga solar yang tersambung ke talian 132kV diwajibkan melantik seorang JKE sebagai jurutera residen.

“Bilangan JKE ini sangat sedikit di pasaran sehingga menyebabkan mereka menuntut gaji sehingga RM20,000, sedangkan kerja mereka hanyalah untuk membuat penyelarasan sebanyak dua kali setahun.

“Oleh itu, saya menyeru kerajaan mengkaji peraturan sedia ada bagi membenarkan pemilik ladang solar menggunakan khidmat jurutera pelawat untuk menggantikan jurutera residen,” katanya.

Beliau juga mencadang supaya Suruhanjaya Tenaga (ST) membenarkan pemain-pemain industri solar melantik jurutera perkhidmatan bagi tempoh tertentu berbanding jurutera residen sekarang.

Katanya, disebabkan kesukaran untuk mendapatkan jurutera residen yang kompeten, ST diminta membenarkan para pemohon lesen penjana elektrik untuk menggunakan khidmat jurutera perkhidmatan sekurang-kurannya untuk tempoh enam bulan.

Katanya, disebabkan kekurangan tenaga kerja dalam bidang ini, untuk mendapatkan jurutera residen yang kompeten seperti mana yang ditetapkan ST amat sulit untuk dipenuhi dan mengambil masa lama yang boleh menjejaskan perjalanan projek.

“Jurutera kompeten ini boleh dikatakan semuanya sudah ada majikan, jadi prosedur ini kami rasakan agak rumit. Sebab itu kami minta agar diberikan sedikit kelonggaran kepada pemohon lesen penjana elektrik untuk membenarkan mereka melantik jurutera perkhidmatan bagi ganti jurutera residen,” jelasnya.

Selain itu katanya, ST juga dicadangkan supaya seorang jurutera residen dibenarkan untuk berkhidmat di semua ladang solar milik syarikat berkenaan berbanding seorang jurutera untuk setiap ladang.

“Ini kerana untuk mendapatkan jurutera yang kompeten dalam bidang ini amat sukar,” katanya.

Menurut Guntor, persaingan dan kekurangan tenaga pakar dalam pasaran menyebabkan ada yang terpaksa menggunakan khidmat pekerja yang kurang berkelayakan untuk memasang solar yang mana ini adalah berbahaya.

Beliau memberitahu, tenaga kerja dalam Gading Kencana sendiri telah meningkat kira-kira 30 peratus sejak setahun lalu ekoran peningkatan permintaan dalam tenaga boleh baharu terutama solar.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajan melabur lebih banyak dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan fokus kepada tenaga boleh baharu dan industri solar.

“Salah satu penyelesaian mudah ialah dengan membenarkan universiti tempatan terutama yang sudah memiliki kemudahan untuk melaksanakan akreditasi melalui penyediaan dana tambahan kepada mereka.

“Kita mesti menghalang dan mengelakkan berlaku monopoli pada masa hadapan oleh syarikat-syarikat besar yang menggaji tenaga kerja asing yang murah hingga mengetepikan pekerja tempatan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof baru-baru mengakui lebih 62,000 pekerja mahir dalam sektor tenaga diperlukan bagi memenuhi industri penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) di negara ini menjelang tahun 2050. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN