Ekspo produk e-dagang dari China sasar jana RM60 juta transaksi perdagangan - Utusan Malaysia

Ekspo produk e-dagang dari China sasar jana RM60 juta transaksi perdagangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: JMM Holding sasar jana transaksi perdagangan bernilai RM60 juta menerusi Ekspo Produk e-Dagang Terpilih Malaysia 2024 yang akan mempamerkan lebih 200 produk jenama terkemuka dari China.

Ekspo anjuran bersama Malaysia Guangdong Chamber of Commerce (MGCC) itu akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 29 November hingga 1 Disember 2024, bakal menarik lebih 15,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Pengasas JMM Holding, Ellison Yang berkata, ekspo itu juga menyediakan platform untuk peniaga dan pengguna tempatan untuk terus berhubung dengan pengeluar China, seterusnya mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala.

Ujarnya, pengguna runcit juga akan mendapat manfaat daripada penghantaran kilang terus, membolehkan mereka membeli produk berkualiti tinggi pada kos lebih rendah tanpa menanggung caj platform tambahan.

“Ekspo ini akan menampilkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terkemuka dari China merentasi pelbagai sektor, termasuk tenaga baharu (PV solar), stor tenaga, cerucuk pengecasan, lampu, peralatan domestik dan produk rumah pintar.

“Ia pastinya akan menyediakan pengalaman pembelian yang komprehensif sama ada untuk pengusaha perniagaan tempatan yang mencari pesanan pukal, serta pengguna runcit yang meneroka pelbagai jenis produk,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, lokasi Malaysia yang strategik berlandaskan dengan keupayaan berbilang bahasa, serta kepelbagaian budaya menjadikan negara kita sebagai pusat serantau yang strategik dan ideal untuk syarikat China memasuki pasaran Asia Tenggara.

“Dengan kepakaran pengeluaran dan harga kompetitif perniagaan China, kerjasama ini akan meningkatkan penembusan pasaran dengan ketara di seluruh ASEAN,” katanya.

Ellison menegaskan, ekspo itu bukan sekadar pameran perdaganganmalah ia adalah pemangkin untuk pertumbuhan, inovasi dan kerjasama dua hala yang lebih mendalam, selain memenuhi kedua-dua pasaran perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan perniagaan-ke-pengguna (B2C).

“Tahun ini mencatatkan sejarah penting dalam hubungan Malaysia-China kerana pada separuh pertama tahun ini, perdagangan dua hala telah mencecah AS$100.232 bilion, peningkatan sebanyak 10.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut, dan dasar bebas visa baharu ini telah meningkatkan lagi pertukaran budaya dan komersial antara negara kita,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya