PETALING JAYA: Selepas 10 tahun menyepi jenama Ducati kini kembali ke negeri Johor bagi merapatkan jurang untuk para peminat di selatan tanah air.
Pelancaran bilik pameran Ducati Johor ini juga turut menyediakan pengalaman pemilikan motosikal mewah serba baharu untuk para peminat sekaligus merancakkan semula semangat Ducatisti di selatan tanah air.
Kemudahan baharu itu terletak di lokasi strategik di No.9 Jalan Permas 9/17, Masai, Johor Bahru, bersebelahan Aeon Permas Jaya.
Pusat pengedar bernilai RM3.5 juta itu memiliki keluasan 2,418 kaki persegi yang direka untuk menawarkan pengalaman premium dengan identiti Ducati kepada para pelanggan.
Ia merangkumi bangunan tiga tingkat yang menempatkan ruang pameran dan aksesori di tingkat satu, pusat servis di tingkat dua dan ruang pejabat di tingkat 3.
Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Ducati Asia Pasifik, Marco Biondi, menyifatkan pembukaan pusat pengedaran ini sebagai langkah penting dalam strategi serantau Ducati.
“Pembukaan ini memperlihatkan komitmen kami untuk mengukuhkan kehadiran di pasaran utama dan menyediakan pengalaman pelanggan yang luar biasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Ducati Malaysia, Dennis Michael berkata, pusat pengedaran baharu ini melambangkan dedikasi Ducati dalam memberi perkhidmatan jualan dan selepas jualan bertaraf dunia, di samping mendekatkan jenama itu kepada pelanggan di wilayah selatan.
Bilik pameran Ducati Johor mampu memuatkan sehingga 16 buah motosikal, sementara pusat servis menempatkan empat ruang servis dan mampu menyelenggara sehingga 200 motosikal setiap bulan.
Pusat pengedar di Johor itu dibuka Isnin hingga Sabtu dari 10 pagi hingga 7 malam, manakala hanya bilik pameran tetap dibuka pada Ahad dari 10 pagi hingga 3 petang.
Dengan pelancaran pengedar baharu di Johor, Ducati Malaysia menetapkan sasaran jualan 30 unit menjelang akhir 2024 dan 100 unit pada 2025 sekali gus mampu menjadi destinasi utama bagi komuniti peminat Ducati di selatan tanah air. – UTUSAN