Zurich Malaysia, GXBank lancar Cyber Fraud Protect - Utusan Malaysia

Zurich Malaysia, GXBank lancar Cyber Fraud Protect

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Susulan kerjasama bankansurans yang ditubuhkan pada Mei lalu, Zurich General Insurance Malaysia Berhad (Zurich) dan GXBank Berhad (GXBank) mengumumkan pelancaran Cyber Fraud Protect yang ditawarkan dalam aplikasi GXBank dan dikuasakan oleh platform Zurich Edge.

Produk insurans digital inovatif ini melindungi rakyat Malaysia daripada kerugian kewangan akibat pemindahan wang secara elektronik tanpa kebenaran oleh penjenayah siber atau mesej penipuan elektronik.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, sejak Mei lalu, syarikat telah bekerjasama rapat dengan GXBank, memanfaatkan kepakaran pengurusan risiko dan keupayaan digital Zurich untuk melancarkan Cyber Fraud Protect iaitu penyelesaian insurans dalam talian yang inovatif untuk rakyat Malaysia.

Jelas beliau, Cyber Fraud Protect selaras dengan kempen jenama kami, ‘Lindungi Segala Perkara Yang Bermakna’ (Care For What Matters), dengan menyediakan perlindungan penting di dalam dunia yang semakin bergantung kepada digital.

“Kami yakin ia akan menawarkan rakyat Malaysia perlindungan yang diperlukan dalam landskap digital yang pesat berubah hari ini.

“Dalam merancang dan melancarkan produk ini, fokus utama kami adalah memastikan pengalaman pelanggan yang lancar dan positif dan dengan platform Zurich Edge.

“Kami berupaya melakukannya, memberikan pembelian dalam aplikasi yang mudah dan lancar untuk pelanggan GXBank,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif XBank, Pei-Si Lai berkata, sejak pelancaran, syarikat sentiasa berusaha untuk menawarkan pengalaman perbankan digital terbaik sambil memastikan literasi kewangan, akses (kepada perkhidmatan kewangan) dan keselamatan kepada rakyat Malaysia.

“Cyber Fraud Protect yang dicipta bersama dengan Zurich, adalah unik dan kini, merupakan satu seumpamanya.

“la bukan sahaja menawarkan jumlah perlindungan tinggi sehingga RM20,000 terhadap kerugian akibat transaksi tanpa kebenaran daripada jenayah siber, tetapi juga perlindungan yang merangkumi semua akaun bank tempatan, kad debit atau kredit dan e-dompett di luar ekosistem GXBank.

“Di samping itu, kerjasama kami juga akan menghasilkan pelbagai produk insurans pada masa hadapan. Ini selaras dengan misi berterusan kami untuk membina daya tahan kewangan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia dari semua latar belakang,” katanya.

Cyber Fraud Protect menawarkan perlindungan untuk kerugian kewangan akibat pemindahan elektronik tanpa kebenaran dari mana-mana akaun bank tempatan, e-dompet, kad kredit atau debit, dan menyediakan perlindungan penting terhadap ancaman siber yang semakin meningkat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN