Untung bersih Public Bank melonjak kepada RM1.78 bilion - Utusan Malaysia

Untung bersih Public Bank melonjak kepada RM1.78 bilion

public bank
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Untung bersih Public Bank Bhd. bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 meningkat 10 peratus kepada RM1.78 bilion berbanding RM1.62 bilionsetahun lalu, didorong sumbangan lebih baik daripada pendapatan faedah bersih dan pendapatan bukan faedah.

Hasil bagi suku berkenaan juga meningkat kepada RM6.69 bilion berbanding RM6.26 bilion pada suku kedua 2023.

Secara kumulatif, Public Bank mencatatkan untung bersih sebanyak RM3.44 bilion pada separuh pertama 2024 dengan hasil RM13.49 bilion, berbanding keuntungan bersih RM3.33 bilion dan hasil RM12.39 bilion pada separuh pertama tahun lalu.

Bank itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak 10 sen sesaham, mewakili 56.5 peratus daripada keuntungan bersih kumpulan untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2024 yang akan diagihkan pada 23 September 2024, berdasarkan tarikh kelayakan pada 11 September 2024.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek menjangkakan, persekitaran operasi di Malaysia kekal kondusif kepada pertumbuhan sektor perbankan, disokong aktiviti perbelanjaan dan pelaburan swasta yang berdaya saing.

Mengulas mengenai prospek bank itu, beliau berkata, mereka akan terus mengukuhkan kecekapannya dalam segmen perbankan runcit sambil mencari peluang baharu dalam kemampanan dan transformasi digital.

“Apabila kumpulan bergerak secara proaktif ke hadapan, ia akan terus memastikan asas kukuh dengan kedudukan modal dan kecairan yang sihat, serta kualiti aset yang kukuh untuk melindungi keuntungan dan nilai pemegang kepentingan yang mampan,” katanya dalam kenyataan.

Pendapatan faedah dan pembiayaan bersih Public Bank pada separuh pertama 2024 meningkat 3.9 peratus kepada RM5.42 bilion berbanding separuh pertama 2023, dengan margin faedah bersih/margin pembiayaan yang stabil sebanyak 2.2 peratus.

Pendapatan bukan faedah kumpulan merekodkan pertumbuhan 5.8 peratus kepada RM1.32 bilion disebabkan pendapatan yang lebih tinggi daripada perniagaan unit amanah dan broker saham.

Public Mutual, anak syarikat milik penuh Public Bank yang menguruskan perniagaan unit amanahnya, kekal sebagai penyumbang penting kepada pendapatan bukan faedah kumpulan itu.

Berbanding tempoh yang sama pada 2023, Public Mutual mencatatkan pertumbuhan sihat sebanyak 10.5 peratus dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM428.3 juta pada separuh pertama 2024, menyumbang 9.7 peratus daripada keseluruhan keuntungan sebelum cukai kumpulan.

Public Bank menyaksikan peningkatan 6.0 peratus dalam portfolio pinjamannya kepada RM411 bilion dengan peningkatan 5.9 peratus dalam pinjaman domestik kepada RM383.7 bilion.

Sementara itu, deposit pelanggan, meningkat 5.8 peratus tahun ke tahun kepada RM424.9 bilion, dengan peningkatan 5.3 peratus dalam deposit pelanggan domestik kepada RM395.1 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN