Untung bersih Affin Bank naik 4.7 peratus kepada RM118.58 juta - Utusan Malaysia

Untung bersih Affin Bank naik 4.7 peratus kepada RM118.58 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Affin Bank Bhd. melaporkan keuntungan bersih suku kedua berakhir 30 Jun 2024 meningkat sebanyak 4.7 peratus kepada RM118.58 juta, berbanding RM113.23 juta pada suku sama tahun lalu.

Menurut kenyataan, Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) selepas zakat kumpulan pula sebanyak RM293.1 juta pada 1H2024, penurunan sebanyak 15.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas (1H2023) sebanyak RM345.7 juta, disebabkan oleh pengecutan Margin Kewangan Bersih (NIM).

“Fokus kumpulan terhadap pertumbuhan strategik jelas terlihat dalam aset keseluruhannya, yang berkembang sebanyak 7.2 peratus kepada RM108.2 bilion, naik daripada RM100.9 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Ini didorong oleh peningkatan sebanyak 10.5 peratus dalam portfolio pinjaman dan pembiayaan, mencapai RM69 bilion,” katanya.

Bagaimanapun, pendapatan faedah bersih menurun sebanyak lapan peratus tahun ke tahun kepada RM170.26 juta, manakala pendapatan bukan faedah menurun 29 peratus kepada RM31.83 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah mengumumkan, bahawa kumpulan menjangkakan NIM akan kembali normal menjelang separuh pertama 2025, selaras dengan Pelan Strategik AX28 syarikat, dengan jangkaan bahawa kadar Rizab Persekutuan (Fed) akan dikurangkan sebanyak 50 hingga 75bps dalam masa terdekat dan keadaan ekonomi di Malaysia yang semakin baik.

“Kumpulan bertujuan untuk mengoptimumkan struktur kos operasi dan kos dana sambil menyediakan penyelesaian pelanggan yang inovatif untuk memenuhi jangkaan yang berubah.

“NIM dijangka mengalami pengecutan dalam jangka pendek sementara kami memberi tumpuan kepada pelanggan dengan kualiti kredit yang lebih tinggi memandangkan keadaan ekonomi yang lembap,” katanya dalam kenyataan.

Selari dengan pandangan ini, Wan Razly turut menekankan transformasi digital berterusan kumpulan.

“Teras digital kami sudah siap, menunggu kelulusan kawal selia untuk Go-Live,” katanya,

Sementara itu, jelasnya, syarikat sedang meneruskan Fasa 2 pembangunan Teras Digital termasuk penambahbaikan kepada akaun semasa dan akaun simpanan (CASA), deposit, dan keupayaan e-Wallet.

“Selain itu, platform Perbankan Mudah Alih Baru sedang berjalan dengan baik, dengan sasaran Go-Live pada Disember 2024, yang diharapkan dapat mengukuhkan lagi francais deposit kumpulan.

“Kami kekal komited kepada tiga tonggak strategik AX28 kami, perkhidmatan pelanggan yang tiada tandingan, kepimpinan digital, dan Perbankan bertanggungjawab dengan impak.

“Tonggak Perkhidmatan Pelanggan yang tiada tandingan telah dicapai dan melebihi jangkaan, seperti yang dibuktikan dengan Skor NPS kami sebanyak +69 (menurut kajian terbaru oleh IPSOS),” katanya.

Beliau berkata, kumpulan akan melancarkan AFFIN Private Banking pada September 2024 untuk menyediakan satu lagi enjin pertumbuhan dan evolusi.

“Kemajuan kumpulan dalam aspek kepimpinan digital berada di landasan yang betul untuk dicapai menjelang akhir 2025, memberikan pemangkin dan platform untuk pertumbuhan masa depan.

“Selain itu, kemasukan pemegang saham negeri Sarawak yang dijangka, walaupun sedikit tertunda, diharapkan akan memberikan perubahan besar dalam pelan induk dengan akses kepada bilangan pelanggan dan asas deposit atau likuiditi yang besar. Kehadiran kumpulan di Sarawak akan diperluaskan menjelang akhir 2024.

“Kami teruja untuk berkongsi bahawa kumpulan telah dianugerahkan beberapa anugerah berprestij, mencerminkan dedikasi kami terhadap kecemerlangan dalam sektor perbankan dan kewangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN