UDA rancang pelbagai projek di Johor sempena Jubli Emas - Utusan Malaysia

UDA rancang pelbagai projek di Johor sempena Jubli Emas

MOHD. SALEM Kailany (tengah) bergambar bersama pengamal media sempena Majlis Ramah Mesra UDA Bersama Media Johor di Hard Rock Cafe, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sempena sambutan Jubli Emas 50 tahun perniagaan di negeri ini tahun depan, UDA Holdings Berhad (UDA) merangka pelbagai rancangan pembangunan baharu di Johor.

Antara pembangunan baharu yang dicadangkan adalah pembinaan sebuah blok pangsapuri perkhidmatan 34 tingkat di Pusat Bandar Tampoi dan dua blok 35 tingkat di Skudai Kanan, di sini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Mohd. Salem Kailany berkata, UDA turut merangka kesinambungan pembangunan bandar lestari di Bandar Uda Utama membabitkan rumah bandar dan teres dua tingkat, kedai pejabat dua dan tiga tingkat serta pangsapuri termasuk pangsapuri kos sederhana.

“Perancangan pembangunan ini menggabungkan elemen moden, elegan dan lestari.

“Bandar yang dibina dengan bahan mesra alam dan sistem cekap tenaga ini juga akan mengintegrasikan kemudahan bandar dengan ketenangan, reka bentuk inovatif, ruang hijau subur dan seni bina canggih untuk gaya hidup ceria dan sejahtera,” katanya pada Majlis Ramah Mesra UDA Bersama Media Johor, di sini malam tadi.

Mohd. Salem berkata, penglibatan UDA di Johor yang bakal mencapai 50 tahun pada 17 Julai 2025 adalah sempena usia penubuhan cawangan perniagaan anak syarikat Land (South) Sdn. Bhd. (ULSSB) dan UDA Angsana Sdn. Bhd.

“‘Road to Golden Years – 50 Years & Beyond’ diangkat sebagai tema perjalanan UDA di Johor. Kejayaan ini adalah tanda sokongan dan kepercayaan para pemegang taruh, para pelanggan, rakan-rakan strategik serta sokongan rakan-rakan media terutamanya di negeri in yang banyak membantu mengetengahkan produk-produk serta perkhidmatan UDA kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Salem berkata, pelbagai aktiviti dan promosi menarik akan turut dirancang bagi menghargai sokongan berterusan pelanggan Angsana Johor Bahru Mall yang beroperasi sejak 1997 dan berjaya menarik lebih 15 juta pengunjung saban tahun.

Pusat beli-belah itu membawakan dua jenama baharu, iaitu Kirana yang menawarkan pelbagai produk kraf tangan dari 13 negeri dan Mari Mart yang merupakan pusat runcit sehenti menyatukan pelbagai produk makanan dan minuman.

Katanya, pembukaan Kirana dan Mari Mart adalah selari dengan hasrat UDA dalam menyokong usaha memperkukuhkan pasaran produk usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).

“Pusat beli-belah lima tingkat yang menawarkan ruang niaga seluas 400,000 kaki persegi itu turut menawarkan dewan acara ‘Laman Astana’ yang dilengkapi kemudahan terkini dan boleh memuatkan sehingga 1,000 tetamu.

“Ia sesuai digunakan bagi majlis perkahwinan, konsert, makan malam, majlis graduasi dan pameran selain turut menyediakan empat gelanggang badminton untuk rekreasi dan kawasan terbuka yang luas dan dapat memuatkan sehingga 10 khemah,” katanya.

Beliau berkata, Karnival UDA 2024 yang memasuki tahun ketiga penganjurannya akan menjelajah ke Bandar Tun Hussein Onn di Cheras pada September, diikuti Johor Bahru pada Oktober dan penutupnya di Kuching, Sarawak akhir Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya