Tujuh negeri lepasi kadar kapasiti penggunaan pembuatan pada suku kedua - Utusan Malaysia

Tujuh negeri lepasi kadar kapasiti penggunaan pembuatan pada suku kedua

PERTUMBUHAN IPP didorong oleh peningkatan 4.9 peratus dalam sektor pembuatan.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak tujuh negeri melepasi kadar kapasiti penggunaan industri pembuatan nasional pada suku kedua 2024.

Negeri tersebut adalah Labuan (94.3 peratus), Terengganu (84.8 peratus), Pahang (84.7 peratus), Selangor (84.6 peratus), Negeri Sembilan (84.4 peratus), Melaka (83.5 peratus) dan Johor (83.3 peratus).

Industri pembuatan beroperasi pada kapasiti penggunaan 82.1 peratus pada suku kedua 2024, meningkat 3.8 mata peratus berbanding 78.3 peratus yang dicatat pada suku sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pada suku dikaji, semua subsektor mencatatkan kapasiti penggunaan melebihi 80 peratus, dengan subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain merekodkan kadar tertinggi pada 86 peratus.

Ujarnya, ia diikuti dengan produk tekstil, pakaian, kulit dan kasut (82.8 peratus) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (82.3 peratus).

“Berbanding suku tahun sebelumnya, kapasiti penggunaan industri pembuatan meningkat 1.3 mata peratus.

“Kadar kapasiti penggunaan yang lebih tinggi turut digambarkan dalam peningkatan Indeks Pengeluaran Perindustrian bagi industri pembuatan sebanyak 4.9 peratus berbanding setahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, peningkatan tahun ke tahun dalam kapasiti penggunaan direkodkan sepanjang suku kedua 2024, yang mana April (80.3 peratus; +3.8 mata peratus), Mei (82.7 peratus;+3.5 mata peratus) dan Jun (83.2 peratus; +4.0 mata peratus) dengan Mei dan Jun mencatatkan kadar tertinggi sejak Januari 2023.

“Tambahan lagi, faktor-faktor seperti permintaan yang rendah; bekalan bahan yang tidak mencukupi serta pembaikan dan penyelenggaraan mesin dan kelengkapan kekal sebagai penyebab utama kepada kapasiti penggunaan tidak penuh dalam industri pembuatan,” ujarnya.

Jelasnya, kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport meningkat sebanyak 3.9 mata peratus kepada 81.3 peratus (ST2 2023: 77.4 peratus).

“Pembuatan jentera dan peralatan t.t.t.l. mencatatkan kadar tertinggi iaitu pada 88.5 peratus, diikuti dengan pembuatan perabot (85.8 peratus).

“Namun, dua industri merekodkan kapasiti penggunaan di bawah 80 peratus iaitu pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (75.4 peratus); dan pembuatan kayu dan produk kayu dan gabus, kecuali perabot; pembuatan bagi artikel jerami dan bahan-bahan anyaman (74.8 peratus).

“Berbanding dengan suku tahun sebelumnya, kadar kapasiti penggunaan bagi industri berorientasikan eksport meningkat 1.8 mata peratus daripada 79.5 peratus.” katanya.

Tambah beliau, pada masa sama, industri berorientasikan domestik turut berkembang sebanyak 3.4 mata peratus kepada 83.7 peratus.

“Tiga industri dalam segmen ini mencatatkan kadar kapasiti penggunaan melebihi 85 peratus, iaitu industri pembuatan produk tembakau (94.7 peratus); pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler (88.3 peratus) dan pembuatan produk farmaseutikal asas, kimia perubatan dan botani (85.6 peratus).

“Sebaliknya, kadar penggunaan kapasiti terendah telah dicatatkan oleh industri pembuatan kertas dan produk kertas dengan 77.1 peratus. Berbanding suku pertama 2024, industri
berorientasikan domestik meningkat 0.1 mata peratus daripada 83.6 peratus,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya