Tuju Setia dapat kontrak RM248 juta dari Sime Darby Property - Utusan Malaysia

Tuju Setia dapat kontrak RM248 juta dari Sime Darby Property

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tuju Setia Berhad memperoleh kontrak RM248 juta daripada Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) untuk berkhidmat sebagai kontraktor utama projek Hype Residences.

Hype Residences adalah sebahagian daripada pembangunan pelan induk SJ7 Sime Darby Property seluas 34.6 ekar di USJ, Subang Jaya, dekat sini.

Pelan induk SJ7, dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM4 bilion, merupakan pembangunan berorientasikan transit bersepadu pegangan bebas terbesar di USJ, merangkumi komponen runcit, pejabat dan kediaman.

Pembinaan Hype Residences, yang terletak di tapak seluas 4.32 ekar dalam pelan induk dijangka bermula pada 22 Ogos 2024, dengan sasaran jangka masa siap selama 33 bulan.

Anak syarikat milik penuh Tuju Setia, Pembinaan Tuju Setia Sdn. Bhd., menerima Surat Anugerah daripada Sime Darby Property (SJ7) Sdn. Bhd., anak syarikat Sime Darby Property.

Pengarah Urusan Tuju Setia, Wee Eng Kong berkata, dipilih oleh Sime Darby Property merupakan satu peristiwa penting bagi Tuju Setia, menandakan permulaan kerjasama dengan syarikat pemaju hartanah terkenal dan menekankan keyakinan mereka terhadap keupayaan Tuju Setia.

“Sime Darby Property adalah antara pemaju hartanah terkemuka di Malaysia dengan pengalaman lebih 50 tahun dalam membina komuniti yang mampan. Kami berbangga dapat bersama-sama dalam pembangunan pelan induk SJ7 yang berprestij ini.

“Anugerah kontrak menggariskan komitmen kami untuk menjadi Pembina Pilihan dengan secara konsisten menyampaikan projek tepat pada masanya dan pada standard kualiti tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, komitmen ini terbukti dalam markah konsisten QLASSIC 1 untuk projek yang disiapkan tahun ini, iaitu 84 peratus untuk Tuai Timur Residences di bawah Suntrack Development Sdn. Bhd. dan 85 peratus untuk Savvy Riana Dutamas Residence di bawah 368 Segambut Sdn. Bhd. (usaha sama antara IJM Land Berhad dan FCW Holdings Berhad).

Hype Residences ialah bangunan 39 tingkat yang terdiri daripada dua menara (Menara A dan Menara B), lengkap dengan tempat letak kereta podium dan kemudahan.

Lokasinya yang strategik berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan Sistem Transit Aliran Bas (BRT) USJ7 serta lebuh raya utama seperti Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) dan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) memenuhi keperluan penduduk bandar yang mencari sambungan yang lancar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya