Tropicana, NTT Data meterai perjanjian tanah bernilai RM383 juta - Utusan Malaysia

Tropicana, NTT Data meterai perjanjian tanah bernilai RM383 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tropicana Firstwide Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Tropicana Corporation Berhad memeterai perjanjian jual beli dengan anak syarikat tidak langsung di bawah NTT Data Group bagi penjualan 27.70 hektar tanah pegangan bebas di Gelang Patah, Johor dengan harga tunai sebanyak RM383 juta.

NTT Data Group adalah syarikat perkhidmatan teknologi maklumat dan perundingan multinasional dari Jepun, beribu pejabat di Tokyo, Jepun yang terlibat dalam penyediaan infrastruktur untuk hos, perkhidmatan pemprosesan data dan aktiviti berkaitan serta pengurusan kemudahan komputer.

Menurut kenyataan, penjualan tanah ini menandakan kecekapan dan kebolehan Tropicana dalam merebut peluang yang tepat dalam ekonomi digital yang sedang berkembang pesat sambil memenuhi keperluan tanah yang ketat di Malaysia untuk pembangunan pusat data,” katanya.

“Johor telah menarik lebih daripada 50 pusat data dalam tempoh dua tahun lalu hasil dorongan kuat ke arah ekonomi digital, didorong oleh dasar kerajaan yang kukuh, serta rangkaian dan infrastruktur yang baik.

“Pertumbuhan pesat dalam industri digital di negeri itu menunjukkan ia sedang menuju ke arah menjadi hab pusat data baharu di Asia Tenggara.

Tropicana berkata, pihaknya menyokong visi Malaysia untuk menjadi destinasi global bagi pengendali pusat data untuk syarikat teknologi terbesar di dunia.

“Kami boleh memainkan peranan yang berkesan untuk pengendali pusat data dengan menawarkan tanah strategik yang mempunyai kemudahan infrastruktur seperti elektrik, air dan aksesibiliti yang baik,” katanya.

Jelasnya, Tropicana turut mengalu-alukan pengendali pusat data atau syarikat multinasional untuk bekerjasama dengan mereka.

“Inisiatif ini juga selaras dengan usaha berterusan kerajaan untuk menambah baik tenaga kerja digital negara, membina infrastruktur digital terbaik, dan meletakkan diri sebagai destinasi pelaburan pilihan.

“Kami mempunyai lebih daripada 294.61 hektar bank tanah premium di Johor dan akan terus membina bandar-bandar mampan serta mencari rakan kongsi strategik untuk membangunkan tanah tersebut secara bersama.

“Kami yakin akan terus mengukuhkan kehadiran pasaran dan menyumbang kepada pendapatan masa depan yang disokong oleh jualan belum dibilkan yang tinggi sebanyak RM2.3 bilion dan sambutan menggalakkan projek-projek yang sedang berjalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya