PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mencatatkan pertumbuhan positif dalam trafik penumpang udara untuk separuh meningkat 15.3 peratus tahun-ke-tahun (YoY) pada separuh pertama 2024.
Menurut kenyataan, jumlah trafik penumpang telah mencapai 46.6 juta berbanding 40.4 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2023.
“Trafik penumpang udara antarabangsa khususnya, meningkat kukuh sebanyak 35.9 peratus dengan jumlah 24.0 juta berbanding 17.6 juta pada separuh pertama 2023.
“Bagaimanapun, terdapat sedikit penurunan bagi trafik penumpang domestik, sebanyak 0.7 peratus YoY kepada 22.6 juta penumpang berbanding 22.8 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.
“Peratusan trafik antarabangsa juga lebih tinggi iaitu sebanyak 51.4 peratus berbanding 48.6 peratus untuk trafik domestik pada separuh pertama 2024. Trend ini selaras dengan norma pra-pandemik, di mana trafik penumpang udara antarabangsa melebihi trafik penumpang udara domestik,” katanya.
Jelas Mavcom, bagi Jun 2024, terdapat peningkatan ketara dalam trafik udara dengan jumlah penumpang meningkat kepada 8.1 juta iaitu 12.1 peratus YoY berbanding bulan Jun 2023 dan peningkatan sebanyak 2.3 peratus bulan-ke-bulan (MoM) berbanding bulan Mei 2024.
“Peningkatan ini didorong oleh cuti-cuti umum, dengan trafik penumpang udara domestik meningkat sebanyak 4.2 peratus MoM kepada 4.1 juta pada bulan Jun 2024, berbanding 3.9 juta pada bulan Mei 2024,” katanya.
Selain itu, katanya, bagi trafik kargo udara pula pada suku kedua 2024 (2Q24) adalah sebanyak 241,895 tan metrik, meningkat 5.5 peratus YoY berbanding 229,195 tan metrik pada 2Q23.
“Pertumbuhan kukuh ini didorong oleh lonjakan ketara sebanyak 17.6 peratus YoY dalam pergerakan kargo antarabangsa, iaitu sebanyak 183,719 tan metrik pada 2Q24 berbanding 156,161 tan metrik pada 2Q23.
“Gangguan di Laut Merah telah mendorong pengeluar memilih kargo udara yang lebih pantas dan selamat. Bagaimanapun, pergerakan kargo domestik mengalami trend yang bertentangan dengan penurunan sebanyak 20.3 peratus YoY iaitu 58,176 tan metrik berbanding 73,035 tan metrik pada 2Q23,” katanya.
Mavcom berkata, dari segi suku-ke-suku (QoQ), pergerakan kargo udara pada suku kedua 2024 meningkat sebanyak 6.4 peratus daripada 227,365 tan metrik pada suku pertama.
“Pergerakan kargo domestik menurun sebanyak 3.5 peratus daripada 60,269 tan metrik, manakala pergerakan kargo antarabangsa pula meningkat sebanyak 9.9 peratus daripada 167,096 tan metrik pada suku pertama 2024.
“Pergerakan kargo udara pada suku kedua 2024 mencapai 102.9 peratus berbanding tahap pra-pandemik dengan pergerakan kargo domestik dan antarabangsa masing-masing pada 119.8 peratus dan 98.5 peratus berbanding tahap pra-pandemik,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, suruhanjaya berbesar hati melihat pemulihan yang berterusan dan pertumbuhan dalam trafik penumpang dan kargo.
“Peningkatan dalam laluan antarabangsa dan kekerapan penerbangan menandakan trend positif ke arah normalisasi global perjalanan udara.
“MAVCOM terus menyokong kemajuan ini melalui peraturan yang berkesan dan komitmen terhadap perlindungan pengguna, memastikan persekitaran yang mampan dan berdaya saing untuk semua pihak berkepentingan,” katanya. – UTUSAN