Trafik penumpang udara meningkat kepada 8.8 juta bulan lalu - Utusan Malaysia

Trafik penumpang udara meningkat kepada 8.8 juta bulan lalu

TRAFIK penumpang antarabangsa di Malaysia Airports meningkat lebih 50 peratus selepas pembukaan semula sempadan negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Trafik penumpang udara dicatatkan sebanyak 8.8 juta pada Julai 2024, peningkatan kukuh sebanyak 14.3 peratus tahun ke tahun berbanding 7.7 juta penumpang pada Julai 2023, kata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Ini turut menandakan kenaikan sebanyak 7.7 peratus bulan ke bulan berbanding 8.1 juta penumpang pada Jun 2024.

MAVCOM berkata, pertumbuhan berterusan dalam sektor antarabangsa dan domestik tersebut didorong oleh pemulihan laluan antarabangsa yang berterusan dan peningkatan permintaan penumpang.

Katanya, pertumbuhan ini terutamanya disumbangkan oleh peningkatan perjalanan antarabangsa, disokong oleh pemulihan berterusan laluan antarabangsa dan pelaksanaan pengecualian visa 30 hari bagi pelancong dari China dan India.

Tambahnya, turut membantu adalah pengenalan destinasi antarabangsa baharu pada Julai 2024, termasuk Sihanouk di Kemboja serta Qingdao dan Yantai di China.

“Ini menjadikan trafik Julai 2024, 91.7 peratus daripada paras pra pandemik pada Julai 2019 iaitu trafik merekodkan 9.6 juta dengan trafik antarabangsa memimpin pemulihan.

“Trafik penumpang udara domestik pada Julai 2024, yang menyumbang 48.4 peratus daripada jumlah keseluruhan mencatatkan 4.3 juta penumpang.

“Ini mewakili 88.0 peratus daripada jumlah trafik pada Julai 2019 iaitu sebanyak 4.8 juta. Trafik domestik mencatatkan peningkatan 4.3 peratus bulan ke bulan dari Jun 2024 dan peningkatan 3.5 peratus tahun ke tahun berbanding Julai 2023,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, angka trafik Julai 2024 menonjolkan ketahanan dan dinamisme sektor penerbangan Malaysia.

Katanya, trafik antarabangsa terus menerajui pemulihan, sementara pertumbuhan ketara yang dapat dilihat dalam laluan ASEAN dan bukan ASEAN mengukuhkan kebangkitan semula perjalanan global.

“Ini didorong oleh pemulihan ketersambungan dan keyakinan pengguna yang semakin meningkat. Kami teruja dengan prestasi kukuh dalam pasaran bukan ASEAN, yang menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap Malaysia sebagai destinasi dan hab transit.

“Ketika industri penerbangan semakin menghampiri paras pra pandemik, MAVCOM optimis bahawa Malaysia akan berada di landasan yang betul untuk mencapai jumlah trafik
penumpang yang dijangkakan untuk tahun ini,” ujarnya.

Suruhanjaya berkata, trafik penumpang udara antarabangsa menyumbang 51.6 peratus daripada jumlah keseluruhan dengan 4.5 juta penumpang pada Julai 2024.

“Ini mewakili peningkatan kukuh sebanyak 11.1 peratus bulan ke bulan dan peningkatan 26.6 peratus tahun ke tahun dengan pencapaian 95.4 peratus daripada paras Julai 2019 iaitu pemulihan yang hampir menyeluruh.

“Lapangan terbang antarabangsa utama di Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun dalam jumlah penumpang antarabangsa,” jelasnya.

Menurutnya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) mencatatkan peningkatan sebanyak 28.0 peratus, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) (naik 22.3 peratus) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) (naik 22.8 peratus).

Turut meningkat adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH) (15.5 peratus), Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) (12.1 peratus), manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB) (37.5 peratus).

“Dari segi pengagihan trafik, kedua-dua laluan ASEAN dan bukan ASEAN menyumbang sama rata kepada pertumbuhan trafik antarabangsa.

“Trafik ASEAN mencapai 2.3 juta penumpang iaitu peningkatan 4.5 peratus bulan ke bulan dan peningkatan 16.3 peratus tahun ke tahun, manakala trafik bukan ASEAN mencatatkan peningkatan yang lebih kukuh dengan 2.3 juta penumpang,” katanya.

Suruhanjaya berkata, bagi tujuh bulan pertama tahun 2024, jumlah kumulatif trafik penumpang udara mencapai 55.4 juta penumpang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN