TH komited inisiatif reformasi syarikat dalam ekonomi Madani - Utusan Malaysia

TH komited inisiatif reformasi syarikat dalam ekonomi Madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) komited mendukung aspirasi kerajaan dalam usaha untuk memperkasa ekonomi negara melalui inisiatif reformasi syarikat berkaitan kerajaan selaras dengan rangka kerja Ekonomi Madani. 

Inisiatif yang diterajui oleh Kementerian Kewangan Malaysia dengan sinergi gabungan syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) peneraju termasuk TH ini menyasarkan untuk memangkin sektor ekonomi utama negara.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, syarikat selaku organisasi pengurusan simpanan patuh syariah bagi tujuan haji menyahut tanggungjawab untuk menerajui serta memperluas peranan perbankan Islam dalam menyalurkan bantuan lebih teratur kepada golongan memerlukan.

“Kami beriltizam untuk mengukuhkan kelestarian impak sosial negara menerusi instrumen kewangan Islam. 

“Sejak penubuhan lebih enam dekad lalu, TH telah menyalurkan zakat berjumlah RM1.37 bilion kepada Majlis Agama Islam negeri- negeri untuk diagihkan kepada golongan asnaf,” katanya dalam kenyataan. 

Pada 2023, TH telah menyantuni lebih 560,000 asnaf di seluruh negara melalui Program Zakat Wakalah dengan jumlah zakat sebanyak RM30 juta.

Secara keseluruhannya, lebih daripada 1.6 juta asnaf telah menerima manfaat dari Program Zakat Wakalah TH.

Menurut Syed Hamadah, sebagai contoh pada tahun lalu, di bawah program pembelajaran, TH telah menyalurkan RM10 juta kepada para pelajar dikalangan asnaf di pelbagai rangkaian universiti awam Malaysia bagi tujuan pembayaran tuisyen, pembelian peralatan dan juga penyediaan makanan. 

“Komitmen dalam memperkasa penyaluran bantuan ini turut dapat dilihat melalui kejayaan pelaksanaan Sadaqa House yang dikelola oleh syarikat sekutu kumpulan TH iaitu Bank Islam. 

“Ia merupakan pemacu kewangan sosial diiktiraf di peringkat global yang menggerakkan dana sosial seperti sedekah dan zakat untuk menjana impak positif bagi segmen yang kurang dan tidak mendapat perkhidmatan kewangan,” katanya. 

Pada masa sama, Syed Hamadah turut menjelaskan dana daripada inisiatif Sadaqa House berjumlah lebih RM25 juta telah disalurkan untuk meningkatkan kemampuan 1,200 usahawan mikro menerusi program pembiayaan mikro iTEKAD. 

“Selain itu, dana Sadaqa House juga dimanfaatkan untuk memelihara kesejahteraan hidup dan pendidikan kepada hampir 10,000 penerima manfaat termasuk 86 anak yatim yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi serta selebihnya daripada golongan asnaf dan B40 di seluruh negara menerusi pelbagai usaha dan program yang dijalankan.

“TH berharap dengan adanya kerjasama dengan GLC dan GLIC lain di dalam inisiatif memperkasa ekonomi Madani ini, lebih banyak syarikat-syarikat berkaitan kerajaan akan memperuntukkan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi tujuan tersebut,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memberi komitmen secara kolektif untuk dana berjumlah RM120 bilion bagi tujuan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Enam GLIC tersebut adalah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Ia adalah sampingan pelaburan-pelaburan mereka di dalam pasaran modal awam bernilai RM455 bilion.

Komitmen itu adalah fasa pertama di bawah program dikenali sebagai GEAR-uP yang disasarkan kepada industri-industri yang memiliki pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) seperti sektor peralihan tenaga dan pembuatan canggih terutamanya dalam bidang semikonduktor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya