PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan mana-mana agensi dibawahnya tidak pernah mengumumkan bahawa Tesla akan membuka kilangnya di Malaysia, kata Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Menerusi hantarannya di platform X, beliau menjelaskan, MITI ada membuat perbincangan dengan pengasas Tesla, Elon Musk dalam usaha menarik pelabur.
“Bagaimanapun, Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilangnya di sini.
“Pertama, laporan yang dikeluarkan (berita asing) bukanlah kenyataan rasmi daripada Tesla, sebaliknya memetik sumber yang tidak bernama (anonymous).
“Jadi, apabila ditanya, jawapan saya (sebelum ini) ialah wartawan perlu menyemak kesahihan berita ini dengan tesla kerna sumbernya bukanlah Tesla.
“Kedua, MITI tidak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia. Memang kita adakan perbincangan dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelabur, tetapi Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita dalam talian Thailand, The Nation kelmarin yang memetik sumber enggan dikenali dalam kerajaan itu, mengenai Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia.
Selain itu, beliau berkata, dalam usaha mengukuhkan ekosistem kenderaan elektrik (EV), kerajaan telah memperkenalkan Inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri yang terbuka untuk mana-mana pembuat kenderaan EV.
Katanya, antara syaratnya adalah, perlu memasang sekurang-kurangnya 50 unit ultra ‘fast charger’ (pengecasan pantas) dengan kapasiti melebihi 180 kilowatt-jam.
“Pembuat kenderaan EV juga perlu memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada ultra pengecasan pantas yang telah dibangunkan di Malaysia dibuka untuk kegunaan awam iaitu untuk jenama kendaraan selain daripada jenama milik syarikat.
“Selain itu, mereka perlu bekerjasama dengan sekurang-kurangnya 10 syarikat tempatan dalam membangunkan ekosistem industri perkhidmatan pengecasan EV, termasuk menggunakan kontraktor tempatan yang membuat pemasangan pengecas EC, pembekal peralatan seperti transformer, kabel dan lain-lain lagi,” jelasnya.
Beliau berkata, tujuan inisiatif itu untuk mempertingkatkan rangkaian pengecas untuk kegunaan pemilik kenderaan EV tempatan dan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem pengecasan EV.
“Melalui program yang serupa, negara seperti China, Hong Kong, dan Norway telah mempercepatkan peralihan kepada kenderaan elektrik. Apabila ini berlaku, banyak PKS tempatan mendapat manfaat daripada penyertaan dalam ekosistem EV.
“Setakat ini, hanya Tesla yang telah memohon dan diluluskan penyertaannya dalam inisiatif Global BEV ini tetapi kita mengalu-alukan penyertaan pembuat EV lain. Jadi, bila kata Tesla dapat layanan istimewa, itu tidak betul, mana-mana syarikat pun boleh memohon untuk inisiatif ini,” katanya.
Katanya, MITI akan terus berusaha menarik pelabur berkualiti tinggi ke Malaysia dan srategi untuk menarik mereka dalam industri automotif tidak terhad kepada Tesla sahaja.
“Dari 2022 sehingga suku pertama 2024, kita telah menarik pelaburan bernilai RM24.55 bilion dalam aktiviti pembuatan berkaitan EV daripada syarikat seperti Chery, Gemilang Coachwork, Samsung SDI Energy, NexV Manufacturing dan EVE Energy.
“Pengeluar tempatan kita turut menyokong rantaian bekalan global Tesla dengan membekalkan alat ganti, komponen dan sistem automasi kilang kepada mereka.
“Selain pelaburan dalam sektor automotif, kerajaan juga menarik pelaburan dalam pelbagai sektor lain. Bagi suku pertama 2024 sahaja, pelaburan diluluskan adalah RM83.7 bilion, naik 13 peratus berbanding tahun lepas,” katanya. – UTUSAN