PETALING JAYA: Tindakan Tesla Inc Tesla) membatalkan rancangan pengeluarannya di Asia Tenggara berkemungkinan satu keputusan komersial operasinya di peringkat global, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Jurucakap MITI dalam satu kenyataan berkata, tindakan pengeluar kenderaan elektrik (EV) global itu bagaimanapun tidak mencerminkan pembaharuan perindustrian dan penambahbaikan landskap pelaburan yang diusahakan oleh MITI serta agensinya sejak Disember 2022.
Kenyataan itu juga menegaskan bahawa laporan media itu bukan kenyataan rasmi Tesla dan hanya berdasarkan ulasan daripada sumber yang identitinya dirahsiakan.
“Sebarang pengesahan laporan itu perlu dibuat oleh Tesla,” katanya.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan daripada Tesla berhubung isu itu.
Tesla dilaporkan tidak akan membina kemudahan pembuatan EV sama ada di Malaysia, Thailand atau Indonesia.
Memetik laporan daripada akhbar Thailand, The Nation, berdasarkan sumber kerajaan Thailand, pengeluar EV itu sebaliknya hanya akan menumpukan kepada pengukuhan ekosistem stesen pengecasan.
Tesla sebelum ini dilaporkan bersedia untuk melabur AS$5 bilion untuk hab pembuatan Asia Tenggara dan memilih Thailand sebagai lokasi pilihan.
Pada masa sama, Malaysia dan Indonesia juga menawarkan peluang untuk Tesla membuka kemudahan pengeluaran mereka.
“Tesla pada masa ini hanya membincangkan stesen pengecasan, dengan rancangan kilang itu digantung bukan sahaja di Thailand tetapi di seluruh dunia.
“Mereka tidak meneruskan di Malaysia, Indonesia atau di mana sahaja kecuali di China, Amerika dan Jerman,” kata sumber itu. – UTUSAN