Tempoh pulangan modal untuk durian lebih panjang

Tempoh pulangan modal untuk durian lebih panjang

POKOK durian mengambil masa lima tahun untuk matang dan mencapai hasil puncak dari 20 tahun ke atas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tempoh pulangan modal yang panjang untuk durian menjadi isu utama untuk syarikat pelandangan untuk menggantikan pokok kelapa sawit tua kepada durian, kata AmInvestment Bank Bhd.

Penganalisisnya, Gan Huey Ling berkata, pokok kelapa sawit hanya mengambil masa tiga tahun untuk matang berbanding lima tahun untuk durian dan hanya mencapai hasil puncak dari 20 tahun ke atas.

Katanya, terdapat potensi untuk syarikat perladangan menukar pokok kelapa sawit yang sudah tua kepada estet durian sekiranya bentuk muka bumi dan tanah sesuai. 

“Keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk ladang durian juga kurang ketat berbanding kelapa sawit

“Pada kemuncaknya, pokok itu boleh mengeluarkan lebih daripada 100 buah durian setahun berbanding 20 buah durian pada tahun pertama matang. Pokok durian mencapai hasil puncak dari tahun 20 hingga 40.

“Pokok durian boleh bertahan lebih dari 100 tahun. Oleh itu, terdapat sedikit keperluan untuk penanaman semula,” katanya dalam satu nota penyelidikan. 

Menurutnya, IOI Corporation mempunyai 28 hektar ladang durian di Johor pada akhir tahun kewangan 2023.

Beliau berkata, pengeluar utama durian di Semenanjung Malaysia ialah Pahang, Kelantan dan Johor dengan menyumbang lebih daripada 60 peratus pengeluaran durian di Semenanjung Malaysia.

“Kebanyakan ladang durian di Pahang adalah di Bentong dan Raub. Bentong, Raub dan Balik Pulau di Pulau Pinang sesuai untuk tanaman durian kerana bentuk muka buminya yang licin.

“Durian sebaiknya ditanam di kawasan cerun yang suhunya kurang daripada 30 darjah,” ujarnya.

Tambahnya, prospek jangka panjang industri durian adalah positif berikutan peluang eksport ke China.

Jelasnya, pada Jun 2024, Malaysia menerima kelulusan untuk mengeksport buah durian segar ke China, berbanding sebelum ini hanya dibenarkan mengeksport pulpa, pes dan buah-buahan beku ke China.

“Permohonan untuk permit yang diluluskan untuk mengeksport durian segar ke China akan diaudit oleh Pentadbiran Am Kastam China pada bulan September.

“Pada masa ini, lebih daripada 90 peratus durian yang dihasilkan di Malaysia dimakan di dalam negara. Selain itu, bekalan yang terhad disebabkan oleh kekurangan tanah yang sesuai dan tempoh pertumbuhan yang lama bagi pokok durian tersebut.

“Dianggarkan terdapat 85,000 hingga 90,000 hektar kawasan tanaman di Malaysia berbanding 180,000 hingga 200,000 hektar di Thailand. Kebanyakan ladang durian di Malaysia dimiliki oleh pekebun kecil dengan blok tanah lebih kecil daripada empat hektar,” katanya.

Jelasnya, terdapat tiga syarikat tersenarai yang terlibat dalam aktiviti durian di Bursa Malaysia iaitu PLS Plantations, DSR Taiko (disenaraikan di Leap Market) dan Matang.

“Daripada  tiga ini, DSR Taiko dan Matang menguntungkan. Kami percaya bahawa pendapatan Matang didorong terutamanya oleh minyak sawit kerana ladang duriannya masih muda,” ujarnya.

Beliau berkata, pemain durian utama di Malaysia adalah syarikat tidak tersenarai seperti Hernan Plantation, Sindiyan Group dan Top Fruits.

Menurutnya, syarikat perladangan memberi tumpuan kepada pembangunan solar pada masa ini berbanding durian.

“Tempoh bayaran balik untuk ladang solar adalah lebih pendek daripada durian dan kami berpendapat bahawa lebih mudah untuk menguruskan ladang solar berbanding ladang durian,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya