PETALING JAYA: Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengelak daripada menjawab soalan mengenai laporan yang mendakwa Tesla membatalkan rancangan untuk membina kilang di Asia Tenggara, termasuk Malaysia.
Beliau berkata, perkara itu perlu ditanyakan kepada Tesla.
“Tanya Tesla, saya tidak bekerja untuk Tesla,” katanya ketika diminta mengulas mengenai laporan oleh akhbar harian Thailand, The Nation.
Ketika ditanya sama ada kementeriannya akan mengeluarkan kenyataan rasmi, Tengku Zafrul hanya mengucapkan terima kasih kepada wartawan.
Semalam, The Nation, memetik sumber kerajaan Thailand, melaporkan bahawa Tesla telah membatalkan rancangan untuk menubuhkan kilang kenderaan elektrik di rantau ini.
Sumber itu berkata, syarikat tersebut hanya membincangkan stesen pengecasan dengan rancangan kilang digantung di seluruh dunia kecuali di China, Amerika Syarikat dan Jerman. Keputusan ini merupakan sebahagian daripada penarikan pelaburan Tesla di seluruh Asia dan luar.
Difahamkan, pasukan eksekutif Tesla yang memimpin usaha syarikat itu untuk berkembang ke Asia Tenggara tahun lalu telah dibubarkan.
MITI juga menolak laporan tersebut dengan mengatakan ia tidak berdasarkan kenyataan rasmi dari Tesla dan tidak mempunyai pengesahan daripada syarikat itu sendiri.
Jurucakap kementerian itu berkata, Tesla mungkin telah membatalkan rancangannya sebagai sebahagian daripada keputusan komersial mengenai operasi globalnya.
Bagaimanapun, jurucakap itu berkata, ini tidak mencerminkan keadaan buruk terhadap reformasi industri dan landskap pelaburan yang bertambah baik yang telah diusahakan oleh kementerian dan agensinya sejak Disember 2022. – UTUSAN