PETALING JAYA: Pakar ekonomi berpendapat hutang negara bakal berkurangan pada 2027 namun bergantung kepada hutang baharu yang bakal diterbitkan kerana ia amat bergantung kepada defisit fiskal yang bakal dicatatkan pada masa akan datang.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, berdasarkan jangkaan di dalam Belanjawan 2024, defisit fiskal bakal mencecah RM85.4 billion iaitu 4.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding RM91.4 billion atau 5.0 peratus daripada KDNK pada 2023.
“Sekiranya defisit semakin mengecil, maka hutang kerajaan akan dapat dikurangkan.
“Justeru, langkah konsolidasi fiskal seperti menaikkan cukai, memperkenalkan cukai baharu, rasionalisasi subsidi serta memastikan pentadbiran pungutan cukai yang cekap akan membantu kerajaan dalam mengurangkan defisit dan hutang kerajaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas Mohd. Afzanizam, defisit itu bererti kerajaan berbelanja lebih daripada hasil dan sekiranya defisit semakin mengecil, maka kurang keperluan kerajaan untuk meminjam pada masa akan datang.
Terdahulu, dalam satu hantaran video dalam media sosial Facebook, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, jumlah hutang keseluruhan negara akan mula menurun bermula 2027 ke atas apabila jumlah hutang terdahulu yang matang akan mula berkurang.
Jelas Rafizi, dalam tempoh dua tahun mentadbir, hutang baharu tahunan telah berjaya diturunkan sebanyak RM14 bilion, iaitu RM86 bilion bagi 2024 berbanding RM100 bilion dalam 2022.
“Jika prestasi ini dapat dikekalkan, jumlah hutang keseluruhan negara akan mula menurun bermula 2027 apabila jumlah hutang terdahulu yang matang itu akan juga mula berkurang,” katanya.
Rafizi berkata, baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa jumlah hutang baharu berkurang setiap tahun setelah kerajaan Madani mengambil alih.
Rafizi menjelaskan, hutang baharu yang diambil kerajaan dijangka turun kepada RM86 bilion untuk 2024 berbanding RM93 bilion dalam 2023 dan RM100 bilion dalam 2022.
“Saya selalu terangkan bahawa pada masa yang kerajaan komited untuk mengurangkan hutang baru setiap tahun kita masih perlu membayar hutang yang diwarisi.
“Jadi, jumlah hutang tahunan itu perlu mengambil kira bayaran hutang terdahulu setiap tahun Disamping hutang baru yang dibuat tahun itu,” katanya.
Beliau berkata, walaupun ekonomi makin baik dan cukai yang dikutip lebih tinggi, namun hutang yang diambil oleh kerajaan terdahulu kini perlu dibayar oleh kerajaan sekarang dan jumlah keseluruhan masih tinggi.
“Sehubungan itu, prestasi mengurangkan hutang perlu diteliti juga dari segi jumlah hutang baharu seperti yang dinyatakan Perdana Menteri,” katanya.
Baru-baru ini, Anwar menegaskan bahawa kerajaan komited mengurangkan pinjaman bersih atau hutang baharu sebagai langkah jangka pendek meningkatkan keupayaan kewangan negara.
Anwar ketika berucap merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 menegaskan bahawa kerajaan menyasar untuk mengurangkan pinjaman tahunan kepada RM86 bilion bagi 2024 berbanding RM93 bilion pada 2023, dan RM100 bilion pada 2022.
Beliau berkata, pada 2021 dan 2022, negara berhutang sebanyak RM100 bilion sebelum dikurangkan secara berperingkat oleh kerajaan Madani. – UTUSAN