PETALING JAYA: SME Bank dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memberi sokongan yang dipertingkatkan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui penyelesaian kewangan dan program pembinaan kapasiti yang komprehensif.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, berkata, kerjasama ini bertujuan untuk mewujudkan impak yang ketara dalam sektor PMKS Malaysia dengan menghubungkan penyelesaian dan kepakaran pembiayaan patuh Syariah SME Bank dengan rangkaian Tabung Haji yang luas.
“Menerusi kerjasama ini, kami akan menyampaikan program pembiayaan dan pembinaan kapasiti yang sesuai kepada vendor dan usahawan tempatan.
“Dengan meluaskan jangkauan, kami berhasrat untuk memupuk pertumbuhan ekonomi yang lestari untuk PMKS meningkatkan peluang dan kejayaan mereka selaras dengan prinsip Syariah,” katanya dalam satu kenyataan.
TH akan mempromosikan program SME Bank yang berkaitan kepada vendornya, manakala SME Bank, melalui anak syarikatnya, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), akan membangun dan mempromosikan program pembinaan kapasiti untuk vendor berdaftar TH yang layak.
Jelas Hardee, kedua- dua pihak akan meneroka dan mencadangkan skim pembiayaan berstruktur yang disesuaikan dengan keperluan khusus vendor berdaftar TH.
“Tambahan pula, kedua-dua organisasi akan bekerjasama untuk menganjurkan persidangan, seminar, ceramah dan aktiviti pemasaran, serta mengambil bahagian dalam program latihan dan pembangunan bersama untuk vendor berdaftar.
“Kerjasama akan menyediakan PMKS dengan alat dan sumber yang diperlukan untuk berkembang maju dalam pasaran yang kompetitif. Dengan menyepadukan prinsip Syariah ke dalam amalan perniagaan mereka, kedua-dua institusi komited terhadap piawaian etika dan pertumbuhan mampan,” katanya.
CEDAR, yang telah melatih lebih 82,000 usahawan setakat ini, akan menyediakan program keusahawanan dan pembinaan kapasiti yang komprehensif yang direka untuk meningkatkan keupayaan PMKS negara.
Inisiatif ini juga akan menggabungkan amalan terbaik dalam Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) melalui program bimbingan dan nasihat yang disasarkan.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman turut menekankan kepentingan strategik kerjasama ini, dengan menyatakan, dengan lebih 10 anak syarikat yang merangkumi pelbagai sektor, TH berada di kedudukan yang baik untuk menyalurkan sumber dan kepakaran yang penting ke dalam perkongsian ini.
“MoU ini bukan hanya mengenai sokongan kewangan; ia mengenai mewujudkan ekosistem yang teguh untuk pertumbuhan PMKS.
“Kami komited untuk memanfaatkan rangkaian dan keupayaan kami yang luas untuk memastikan vendor berdaftar kami memperoleh kemahiran dan peluang yang diperlukan untuk mengembangkan dan meneruskan sokongan jangka panjang mereka untuk TH dan operasi perniagaannya,” katanya. – UTUSAN