Sime Darby raih untung dua kali ganda lebih tinggi - Utusan Malaysia

Sime Darby raih untung dua kali ganda lebih tinggi

DATUK JEFFRI SALIM DAVIDSON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Berhad meraih untung bersih tahun penuh bernilai RM3.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024, lebih dua kali ganda daripada yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Kumpulan berkata, lonjakan ini sebahagian besarnya adalah hasil keuntungan RM2 bilion yang diperolehi daripada penjualan Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) pada Disember 2023.

Tidak termasuk item sekali tersebut, kumpulan melaporkan untung bersih teras sebanyak
RM1.3 bilion, peningkatan 14 peratus berbanding tahun 2023.

Ini terutamanya disebabkan oleh keuntungan lebih tinggi daripada perniagaan perindustrian kumpulan di Australia, prestasi kukuh daripada perniagaan Automotif di Malaysia, Singapura dan Taiwan, serta sumbangan keuntungan daripada UMW.

Bagi tempoh sama, hasil kumpulan meningkat sebanyak 39 peratus kepada RM67.1 bilion berbanding RM48.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, kumpulan telah mengalami tahun yang agak sibuk dari segi pemerolehan dan tahun lepas, pihaknya berjaya menyempurnakan pengambilalihan Cavpower dan UMW.

Beliau berkata, syarikat juga memuktamadkan penjualan RSDH pada tahun dilaporkan, sekali gus menandakan pengeluaran sepenuhnya daripada segmen penjagaan kesihatan.

“Ini membolehkan kumpulan memberikan tumpuan penuh pada usaha mengembangkan perniagaan terasnya iaitu perniagaan automotif dan perindustrian.

“Walaupun menghadapi keadaan yang mencabar, prestasi kami tetap kukuh, menandakan ketahanan dan kemantapan portfolio perniagaan kami yang pelbagai di pasaran
berbeza.

“Bahagian perindustrian di Australia telah mencatatkan keuntungan lebih tinggi, terutamanya daripada jualan peralatan dan khidmat sokongan produk yang meningkat,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN