Sime Darby Property semak naik unjuran jualan kepada RM3.5 bilion - Utusan Malaysia

Sime Darby Property semak naik unjuran jualan kepada RM3.5 bilion

SIME Darby Property naikkan unjuran jualan tahun ini kepada RM3.5 bilion. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Property Bhd (Sime Darby Property) menyemak naik unjuran jualan setahun penuh kepada RM3.5 bilion berbanding RM3.0 bilion sebelum ini, disokong pertumbuhan kukuh segmen pembangunan hartanah.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Azmir Merican, berkata unjuran lebih baik turut dipacu oleh langkah kumpulan pemaju hartanah terkemuka itu dalam mempelbagaikan pelancaran produk termasuk komponen perindustrian dan kediaman.

“Sime Darby Property turut memiliki simpanan tanah seluas 5,301.38 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM100 bilion yang bakal dibangunkan.

“Kami yakin dalam sektor ini, kita boleh mengambil pendekatan yang agresif dan pada masa yang sama, dapat menerjemahkannya kepada kadar pengambilan yang efektif serta memberikan anda visi pendapatan yang tinggi,” katanya kepada pemberita dalam taklimat media prestasi kewangan enam bulan pertama Sime Darby Property secara maya.

Menurut Azmir, Sime Darby Property akan melancarkan hartanah bernilai RM1.57 bilion pada separuh kedua 2024, diterajui oleh komponen kediaman bertingkat dengan anggaran GDV RM884 juta, komponen perindustrian (RM384 juta) dan kediaman bertanah (RM197 juta).

“Kami sangat agresif dalam memperkenalkan produk hartanah dengan anggaran GDV mencecah RM4.9 bilion ke pasaran selaras dengan semakan sasaran jualan setahun penuh kumpulan,” katanya.

Bagi separuh pertama, Sime Darby Property sudah melancarkan hartanah bernilai RM2.3 bilion, diterajui oleh komponen perindustrian dengan berjumlah sekitar RM900 juta, pembangunan bertingkat sebanyak RM762 juta dan kediaman bertanah mencecah hampir setengah bilion ringgit.

Dalam pada itu, mengenai prospek hartanah separuh kedua, perkembangan pasaran sangat bergantung kepada pertumbuhan ekonomi yang baik ketika ini.

“Kita dijangka memanfaat hasil daripada perkembangan ekonomi yang positif ini kepada pemaju hartanah termasuk Sime Darby Property.

“Melangkah ke hadapan, Sime Darby Property menjangkakan momentum yang mampan pada separuh kedua didorong oleh permintaan yang sihat dan peningkatan jumlah jualan.

“Selain itu, diharap transformasi berterusan syarikat menjadi syarikat hartanah terkemuka kekal di landasan yang kukuh,” katanya.

Kelmarin, Sime Darby Property mengumumkan bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2024, meraih pendapatan mencecah RM2.2 bilion, manakala keuntungan operasi, keuntungan sebelum cukai (PBT), dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat lebih dua kali ganda tahun ke tahun kepada masing-masing RM532.2 juta, RM446.3 juta, dan RM285.5 juta.

Prestasi kewangan kumpulan disumbangkan terutamanya oleh momentum jualan yang mampan merentasi campuran produk yang pelbagai serta kemajuan kerja-kerja pembinaan yang lebih baik dalam segmen pembangunan hartanah.

Sementara itu, Azmir berkata, syarikat mencapai prestasi jualan separuh tahun tertinggi, mencecah RM2.1 bilion bagi enam bulan pertama 2024 dengan prestasi suku kedua lebih baik dengan pendapatan meningkat sebanyak 75 peratus tahun ke tahun kepada RM1.2 bilion, manakala, PBT meningkat sebanyak 132 peratus kepada RM265.6 juta.

“Peningkatan ketara dalam jualan didorong terutamanya oleh peningkatan aktiviti dan kemajuan pembangunan di tapak pembinaan daripada perbandaran utama seperti Bandar Bukit Raja, Bandar Serenia, Bandar Elmina, KLGCC Resort, dan perbandaran Ara Damansara.

“Di samping itu, sumbangan daripada pengewangan tanah bukan teras di Selangor yang membawa kepada peningkatan keseluruhan sebanyak 133 peratus PBT kepada RM476 juta,” katanya.

Mengulas lanjut, Azmir berkata, produk industri kekal sebagai penyumbang jualan utama pada 35 peratus dengan sumbangan sebanyak RM749.9 juta terutamanya produk perumahan bertingkat menyumbang 25 peratus atau RM538.1 juta, didorong oleh Hype Residences di SJ7, The Ophera di KLGCC Resort, dan TRiARA Residences di Ara Damansara.

“Sumbangan daripada projek perumahan bertingkat melebihi projek perumahan bertanah pada 25 peratus (berbanding 21 peratus sumbangan daripada perumahan bertanah) manakala, produk komersial mencatatkan sumbangan yang lebih tinggi pada 14 peratus (berbanding satu peratus pada suku tahun pertama tahun kewangan 2023,” katanya.

Sime Darby turut memaklumkan, pendapatan segmen pengurusan pelaburan & aset (IAM) meningkat sebanyak 11 peratus kepada RM58.1 juta disokong oleh kadar penghunian yang lebih tinggi, yang mencapai 96 peratus dan pengembalian sewa yang positif di KL East Mall. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya