Sektor ekonomi catat 8.96 juta jawatan pada suku kedua 2024 - Utusan Malaysia

Sektor ekonomi catat 8.96 juta jawatan pada suku kedua 2024

SISTEM gaji progresif dilihat lebih mempengaruhi pekerja untuk kekal dalam syarikat, di samping meningkatkan produktiviti pekerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah jawatan dalam sektor ekonomi meningkat sebanyak 1.5 peratus dengan merekodkan 8.96 juta jawatan pada suku tahun kedua 2024 berbanding 8.83 juta suku sama tahun sebelum, menurut laporan Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan jumlah jawatan itu seiring dengan kadar pengangguran yang kekal stabil pada 3.3 peratus seperti yang direkodkan di Laporan Statistik Tenaga Buruh, Suku Tahun Kedua 2024.

“Trend ini dijangka kekal stabil sehingga akhir tahun ini, lanjutan daripada ekonomi domestik yang kukuh dan pemulihan perdagangan luar negeri.

“Melangkah ke hadapan, prestasi eksport dijangka meningkat, selari dengan potensi kemasukan pelaburan ke dalam negara ini yang akan mewujudkan lebih banyak jawatan,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, bilangan jawatan diisi pada suku tahun kedua mengukuh pada kadar 1.5 peratus untuk merekodkan 8.76 juta jawatan berbanding 8.64 juta pada suku sama tahun sebelum.

“Demikian juga, bilangan kekosongan jawatan dalam sektor ekonomi adalah 191,400, meningkat sebanyak 0.8 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun lepas (ST2 2023: 189,800).

“Untuk kadar jawatan diisi kekal tinggi pada 97.9 peratus, manakala kadar kekosongan jawatan sebanyak 2.1 peratus. Selain itu, bilangan pewujudan jawatan pada suku tahun ini juga meningkat secara perlahan sebanyak 0.5 peratus, mencatatkan 31,900 jawatan (ST2 2023: 31,700),” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai bilangan jawatan diisi, beliau berkata, trend peningkatan yang konsisten menggambarkan perkembangan ekonomi semasa.

“Kestabilan ini dapat dilihat dengan jelas pada pertumbuhan tahun ke tahun yang positif bagi semua sektor ekonomi pada suku tahun ini. Sektor Pertanian mencatatkan pertumbuhan tertinggi pada 3.9 peratus, diikuti oleh perkhidmatan (1.6 peratus) dan pembuatan (1.3 peratus).

“Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar dengan 4.62 juta jawatan (52.8 peratus), diikuti oleh pembuatan (2.35 juta; 26.8 peratus) dan pembinaan (1.24 juta; 14.2 peratus).

“Bagi kategori kemahiran, jawatan diisi tertumpu di kategori separuh mahir dengan 5.49 juta jawatan, bersamaan 62.7 peratus, diikuti oleh kategori mahir dengan 2.19 juta jawatan (25.0 peratus) dan kategori berkemahiran rendah dengan 1.08 juta jawatan (12.3 peratus).

Melihat kepada kekosongan jawatan, beliau menjelaskan, terdapat 191.4 ribu kekosongan jawatan dalam sektor ekonomi pada suku tahun ini, peningkatan sebanyak 0.8 peratus berbanding suku tahun kedua 2023 (189,800).

“Analisis kekosongan jawatan mengikut kategori kemahiran menunjukkan kategori separuh mahir merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 55.8 peratus dengan sejumlah 106.8 ribu kekosongan jawatan, diikuti kategori mahir dan berkemahiran rendah, masing-masing dengan 25.1 peratus (48,000) dan 19.1 peratus (36,700).

“Mengikut aktiviti ekonomi, sektor pembuatan terus mencatatkan trend positif bagi kekosongan jawatan dengan sumbangan sebanyak 56.6 peratus (108,300), terutamanya dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (33,600).

“Seterusnya, diikuti oleh sektor pertanian, menawarkan 31,800 kekosongan jawatan (16.6 peratus) dan sektor pembinaan dengan 26,000 kekosongan jawatan (13.6 peratus),” katanya.

Pada suku tahun ini, katanya, Malaysia menunjukkan peningkatan dalam pewujudan jawatan dengan pertambahan 31,900 jawatan baharu untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam pelbagai sektor ekonomi berbanding suku sama tahun sebelumnya (ST2 2023: 31,700).

“Daripada jumlah pewujudan jawatan, kategori separuh mahir merupakan penyumbang terbesar dengan 20,000 ribu jawatan (62.9 peratus), diikuti kategori mahir dengan 8,500 ribu jawatan (26.7 peratus) dan kategori berkemahiran rendah dengan 3,300 ribu jawatan (10.4 peratus).

“Melihat kepada komposisi pewujudan jawatan mengikut aktiviti ekonomi, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar merangkumi 49.8 peratus (15,800), terutamanya dalam subsektor perdagangan borong dan runcit (8,700).

“Seterusnya, sektor pembuatan menyumbang sebanyak 33.9 peratus, mewujudkan 10,800 jawatan baharu yang didominasi oleh subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal dengan 3,900 pewujudan jawatan.

“Sementara itu, sektor pembinaan merangkumi 11.6 peratus, bersamaan 3,700 jawatan yang diwujudkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN