SC kenakan celaan, denda terhadap bekas Perunding Unit Amanah - Utusan Malaysia

SC kenakan celaan, denda terhadap bekas Perunding Unit Amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan celaan dan denda sebanyak RM687,500 ke atas Amran Mohd. Amin kerana tiga pelanggaran undang-undang sekuriti berkuat kuasa 26 Jun lalu.

SC dalam kenyataan berkata, Amran telah menyeleweng sebanyak RM215,000 daripada empat bakal pelabur antara Januari 2022 dan Januari 2023 untuk tujuan pelaburan dalam dana unit amanah dengan Kenanga Investors Berhad (KIB). 

“Pihak SC mendapati sebaliknya Amran telah memasukkan dana bakal pelabur tersebut ke dalam akaun pelaburan amanah sahamnya sendiri.

“Amran juga telah memberikan penyata akaun yang dipalsukan kepada dua daripada empat pelabur tersebut, memberikan gambaran palsu bahawa pelaburan atau pembelian unit amanah telah dibuat, sedangkan perkara itu tidak berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Jelas SC, Amran yang berkhidmat dengan KIB sebagai perunding unit amanah pada masa itu melakukan pelanggaran seperti tertera di bawah, menyebabkan sekatan pentadbiran di bawah seksyen 354(3) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) iaitu Seksyen 92A(2)(a) CMSA, Perenggan 5.02(b) Garis Panduan SC mengenai Kelakuan untuk Pengantara Pasaran Modal; dan Perenggan 4.1(a) Kod Etika Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia.

“Tindakan SC terhadap Amran dibuat selepas melalui proses yang sewajarnya terhadapnya termasuk peluang untuk beliau menjawab kepada SC mengenai pelanggaran tersebut serta keputusan SC. 

“Amran tidak memfailkan sebarang semakan terhadap keputusan SC dalam tempoh masa yang ditetapkan di bawah CMSA.

“Celaan yang dikenakan terhadap Amran adalah yang terbaru dalam tindakan penguatkuasaan SC terhadap perunding unit amanah (UTC) kerana salah laku. Ia juga memberi peringatan tegas bahawa sebarang salah laku tidak akan diberi toleransi. SC memandang serius salah laku UTC dalam pasaran modal,” katanya. 

Sejak tahun 2020, SC telah mengambil tindakan pentadbiran terhadap sembilan individu kerana salah laku. 

“Ini termasuk kesalahan menerima wang tunai dan mempunyai wang yang dikreditkan ke dalam akaun bank peribadi mereka daripada pelabur untuk tujuan pelaburan dalam unit amanah, dan juga memberikan penyata yang mengandungi maklumat palsu atau mengelirukan kepada pelanggan.

“SC mengingatkan semua UTC untuk bertindak dengan jujur, berintegriti dan demi kepentingan terbaik pelanggan mereka, demi menjaga integriti pasaran modal,” katanya. 

Di samping itu, SC turut menasihatkan syarikat pengurusan dana dan unit amanah perlu memastikan kewajipan mereka dalam menjalankan pengurusan beretika, penyeliaan dan pengawasan perunding mereka. 

“Ini termasuk menjalankan usaha wajar yang kerap dan penelitian yang lebih mendalam terhadap sumber dana kerana mereka bertanggungjawab mengurus wang pelabur.

“SC juga mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak daripada menjadi mangsa UTC tidak bertanggungjawab seperti tidak memindahkan atau mendepositkan wang untuk tujuan pelaburan ke akaun bank UTC yang tidak dibenarkan/peribadi. 

“Mereka juga perlu mengetahui pengenalan jelas wang yang dipindahkan, seperti menulis nama mereka di belakang cek mereka,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut boleh melayari https://www.sc.com.my/regulation/enforcement/actions/administrative-actions/administrative-actions-in-2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN