PETALING JAYA: Saham Encorp Bhd. susut pada dagangan hari ini selepas syarikat menggantung tugas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Hazurin Harun bagi memudahkan siasatan dalaman berkaitan dakwaan yang dibuat membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada rehat tengah hari ini, saham Encorp susut 0.05 sen atau 1.96 peratus kepada 25 sen.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, pemaju hartanah itu berkata, Hazurin telah digantung berkuat kuasa serta merta, sehingga pengumuman lanjut oleh lembaga pengarah.
Encorp telah menyatakan bahawa syarikat itu akan meneruskan operasi perniagaannya seperti biasa dalam tempoh penggantungan.
Ketua Pegawai Kewangan (CFO) kumpulan, Kamarul Azman Kamarozaman@Amir, akan dilantik sebagai pegawai bertanggungjawab dan akan memikul tugas dan fungsi CEO kumpulan buat sementara waktu.
Encorp, merujuk kepada kenyataan dikeluarkan SPRM berhubung reman tiga pegawainya pada 8 Ogos 2024, berkata ia komited terhadap tadbir urus yang baik dan ketelusan sepanjang proses siasatan.
“Syarikat memantau dengan teliti keadaan untuk memastikan pematuhan penuh dan menegakkan komitmen teguh kami terhadap integriti,” katanya dalam makluman berasingan.
Sabtu lalu, SPRM mengesahkan penahanan tiga individu, termasuk seorang CEO Kumpulan, kerana disyaki menyeleweng dana RM1.5 juta milik sebuah syarikat senaraian awam.
Encorp dimiliki 67.13 peratus oleh Felda Investment Corp Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Felda yang berfungsi sebagai sayap pelaburan agensi yang berada di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Syarikat itu menumpukan terutamanya kepada pembangunan hartanah, pelaburan hartanah, pembinaan dan konsesi.