Ringgit mengukuh didorong kemungkinan pemotongan kadar faedah AS - Utusan Malaysia

Ringgit mengukuh didorong kemungkinan pemotongan kadar faedah AS

ringgit
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mata wang tempatan terus menunjukkan prestasi yang baik menjelang kemungkinan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) pada September ini.

Pada pukul 9 pagi semalam, ringgit dibuka kukuh pada 4.4230/4.4350 berbanding dolar AS daripada 4.4450/4530 kelmarin, sebelum mengakhiri dagangan semalam pada 4.4200/4300.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, data Indeks Harga Pengeluar (PPI) terbaharu yang diumumkan pada Selasa menunjukkan bahawa trend penurunan inflasi di AS berjalan dengan baik.

“Sekiranya data Indeks Harga Pengguna (CPI) malam ini (malam Rabu) mengikuti trajektori yang sama, ini akan menguatkan kes untuk pelonggaran monetari.

“Prospek penurunan perbezaan kadar faedah antara Fed Fund Rate (FFR) dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka akan meningkatkan daya tarikan aset ringgit dalam kalangan pelabur asing.

“Pada masa ini, tahap sokongan ringgit terletak pada RM4.4005. Sekiranya tahap ini ditembusi, tahap sokongan seterusnya akan berada di RM4.3000,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Professor Kewangan dan Keusahawanan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berpandangan, kenaikan itu disebabkan oleh gabungan pembaharuan ekonomi strategik, imbangan perdagangan yang teguh dan peningkatan keyakinan pelabur terhadap kestabilan kewangan negara.

“Pelaksanaan beberapa siri pembaharuan ekonomi oleh kerajaan yang bertujuan meningkatkan disiplin fiskal dan mengurangkan hutang awam, termasuk kawalan belanjawan lebih ketat dan usaha membendung rasuah telah membantu memulihkan keyakinan pelabur terhadap pengurusan ekonomi Malaysia.

“Kerajaan juga telah mengorak langkah dalam mempelbagaikan sumber pendapatannya, mengurangkan pergantungan kepada sektor yang tidak menentu seperti minyak dan gas dan meningkatkan pelaburan dalam teknologi dan tenaga boleh diperbaharui.

“Imbangan perdagangan negara juga memainkan peranan penting dalam kekuatan mata wang tempatan,” katanya.
Melihat ke hadapan, beliau berkata, ramai yang optimis tentang kemampanan ringgit, walaupun ia agak mencabar untuk kekal pada tahap 4.40 kerana ketidaktentuan ekonomi global.

“Bagaimanapun, trend pengukuhan semasa menunjukkan bahawa asas ekonomi Malaysia berada di landasan yang kukuh.

“Secara umumnya kenaikan ringgit memerlukan negara untuk mengurus ekonomi dengan baik, kestabilan politik, dan imbangan perdagangan yang teguh dalam mengekalkan kekuatan mata wang dan masa depan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN