Ringgit melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh hampir setahun - Utusan Malaysia

Ringgit melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh hampir setahun

SEORANG pengurup wang mengira wang kertas ringgit Malaysia sementara pelanggan menunggu di kiosk pengurup wang di Kuala Lumpur. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit melonjak ke paras tertinggi 11 bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan jangkaan pelabur terhadap pengurangan kadar faedah AS pada September diperkukuh susulan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC).

Pada pukul 8 pagi semalam, ringgit meningkat kepada 4.5875/5945 berbanding dolar AS daripada 4.5885/5925 ketika ditutup pada Rabu.

Mata wang tempatan kemudian melanjutkan trajektori menaik apabila ditutup pada 4.5680/5740, paras tertinggi dalam 11 bulan sejak Ogos 2023.

MIDF Research berkata, pengukuhan ringgit yang menghampiri paras RM4.55 berbanding dolar AS menjadikannya salah satu mata wang serantau berprestasi terbaik.

Ujarnya, dolar AS dijangka terus melemah apabila Rizab Persekutuan (Fed) semakin hampir untuk mengurangkan kadar faedah.

Jelasnya, ringgit akan terus mendapat keuntungan daripada perbezaan faedah yang semakin mengecil kerana Bank Negara Malaysia (BNM) diunjur mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR), seiring dengan kawalan inflasi yang kekal stabil di Malaysia.

Justeru, MIDF Research yakin ringgit akan meningkat ke arah sasaran akhir sebanyak RM4.43 berbanding dolar AS.

Menurut firma penyelidikan itu, asas pertumbuhan negara juga akan menyokong ringgit untuk terus meningkat dengan anggaran awal menunjukkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku kedua 2024 berkembang pada 5.8 peratus tahun ke tahun.

“Kadar pertumbuhan adalah +1 peratus lebih cepat daripada jangkaan kami dan pasaran.

“Terdapat kemungkinan momentum pertumbuhan akan berterusan ke separuh kedua 2024 seperti yang ditunjukkan oleh pengembangan berterusan dalam Indeks Pelopor, yang meningkat sebanyak +3.8 peratus tahun ke tahun pada Mei.

“Sehubungan itu, kami meramalkan peningkatan berterusan dalam permintaan dalam negeri, di samping pemulihan dalam perdagangan luar akan menyokong ekonomi Malaysia berkembang lebih kukuh pada 2024,” katanya.

Selain itu, kata MIDF Research, lebihan akaun semasa yang mampan adalah satu lagi faktor yang akan menyokong peningkatan nilai ringgit.

Katanya, sebagai negara pengeksport, permintaan terhadap ringgit terus meningkat kerana saiz eksport melebihi import.

“Dalam suku kedua 2024, imbangan perdagangan barangan kekal dalam lebihan pada RM32 bilion walaupun saiz lebihan adalah -42.7 peratus tahun ke tahun, lebih rendah daripada +RM55.8 pada suku kedua 2023.

“Memandangkan eksport dijangka terus bertambah baik dalam separuh kedua 2024 berikutan permintaan luar yang semakin meningkat dan peningkatan penghantaran elektrik dan elektronik (E&E), kami menjangkakan baki akaun semasa Malaysia akan kekal dalam lebihan,” katanya.

Tambah firma, berikutan peningkatan dalam sektor pelancongan, pemulihan eksport perkhidmatan selanjutnya juga akan menyokong lebihan yang mampan dalam akaun semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya