Ringgit kini dalam fasa pembetulan - Utusan Malaysia

Ringgit kini dalam fasa pembetulan

ringgit
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit berada dalam fasa pembetulan selepas mengukuh dengan drastik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, dan bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan, kata penganalisis.

Pada pukul 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.4700/4780 berbanding dolar AS daripada 4.4725/4770 ketika ditutup kelmarin, sebelum jatuh kepada 4.4860/4.4950 pada akhir dagangan semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata,
pergerakan ringgit yang melemah kepada RM4.50 pada tengah hari semalam selepas mengukuh hampir RM4.41 berbanding dolar AS merupakan suatu pembetulan pasaran.

“Saya kira ia boleh dianggap agak sihat dan normal sebenarnya kerana pada Isnin, nilai ringgit mengukuh terlampau drastik, di samping perubahan dalam sentimen pasaran.

“Oleh itu, saya menyasarkan nilai ringgit akan menjejak RM4.50 berbanding dolar AS pada akhir tahun ini. Jadi, nilai tersebut bukanlah nilai yang teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, dalam perjalanan minggu ini sehingga Jumaat, ringgit akan kembali normal dalam RM4.50 sehingga RM4.60.

“Ringgit kini kembali normal kerana pada Februari lalu ringgit pernah mencecah sehingga hampir RM4.80. Jadi, ringgit sudah perlahan-lahan mencatatkan peningkatan.

“Tapi kalau tengok prestasi pada Julai, data berkenaan dengan aliran modal asing, seumpama menyokong kepada perubahan ringgit pada masa akan datang.

“Laporan aliran dana asing menunjukkan pelabur asing menjadi pembeli bersih dalam kedua-dua bon dan ekuiti sepanjang Julai,” katanya.

Beliau berkata, pelabur asing adalah pembeli bersih dalam pasaran bon Malaysia dengan jumlah RM7.8 bilion berbanding RM577 juta pada Jun yang dipimpin oleh pembelian bersih yang lebih tinggi dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) berjumlah RM5.1 bilion (Jun: -RM2.6 bilion) dan RM1.4 bilion (Jun: +RM1.4 bilion).

“Dalam ekuiti, pelabur asing mencatat pembelian bersih berjumlah RM1.4 bilion selepas mencatat penjualan bersih kecil sebanyak RM57 juta pada bulan sebelumnya.

“Ini bertepatan dengan kenaikan ringgit berbanding dolar AS sebanyak 2.77 peratus pada Julai dan bermakna dana asing telah kembali kepada aset Malaysia dan mungkin akan terus berbuat demikian berikutan prospek pertumbuhan yang lebih baik untuk sepanjang tahun ini. “Angka-angka ini juga konsisten dengan ulasan positif oleh Agensi Penarafan Kredit (CRA) dan peningkatan penarafan negara oleh JP Morgan dari Underweight kepada Neutral,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kami tidak terganggu oleh kelemahan baru-baru ini kerana ringgit kelihatan telah melebihi sasaran akibat kebimbangan terhadap kemelesetan AS.

“Pada masa ini, kami percaya penyusutan ringgit adalah disebabkan oleh penghindaran risiko apabila Indeks Dolar AS (DXY) semakin meningkat kerana pedagang lebih suka memegang mata wang selamat iaitu Dolar AS.

“Isyarat dovish dari timbalan gabenor BOJ juga telah menyebabkan peningkatan nilai Dolar AS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya