PETALING JAYA: Ringgit mengalami lonjakan harian paling tinggi dalam tempoh sembilan tahun sebanyak 2.3 peratus pada Isnin, mengatasi rakan setara Asianya termasuk yen Jepun dan yuan China.
Selepas tiga tahun kerugian, ringgit mendahului keuntungan dalam pasaran baru muncul suku ini apabila kerajaan berusaha menarik lebih banyak pelaburan asing dan mula menarik balik subsidi untuk mengurangkan defisit bajet.
Usaha penggubal dasar untuk menggalakkan firma berkaitan kerajaan menghantar pulang dan menukar pendapatan luar negara turut membantu menstabilkan mata wang itu selepas ia jatuh ke paras terendah 26 tahun pada Februari.
Pada pukul 9 pagi semalam, ringgit naik kepada 4.4250/4370 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.5540/5580 pada Jumaat.
Mata wang tempatan kemudian meneruskan trajektori menaik apabila mencapai 4.4000/4150 berbanding dolar AS pada dagangan tengah hari sebelum ditutup rendah sedikit pada 4.4250/4350.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit berpotensi untuk mengekalkan momentumnya dan berlegar pada kadar RM4.43 minggu ini.
“Ini dilihat daripada analisis teknikal iaitu nilai sokongan bagi ringgit berbanding dolar berada pada paras lantai dengan kadar 4.4005. Jika ringgit memecahkan paras nilai sokongan itu, maka paras yang seterusnya adalah pada kadar 4.3050,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Bagaimanapun, katanya, jika itu tidak berlaku, maka ringgit akan berlegar dalam keadaan sekarang kerana kedudukan ringgit itu telah menunjukkan peningkatan yang agak signifikan.
“Kemungkinan para pelabur atau para pedagang untuk membuat aktiviti pengambilan untung merupakan satu perkara yang tidak boleh kita elakkan kerana ringgit mencatatkan peningkatan yang begitu ketara,” katanya.
Mengulas mengenai prestasi ringgit yang mengekalkan momentum peningkatannya selama 11 hari berturut-turut, beliau berkata, data pekerjaan AS yang lemah pada Julai banyak memberikan sumbangan.
“Ini kerana data senarai gaji bukan ladang (NFP) pada Julai adalah sebanyak 114,000 orang, kurang daripada jangkaan dan pada Jun (179,000 orang) dan Mei (216,000 orang).
“Jadi, kemerosotan angka jumlah pekerjaan yang diwujudkan di AS itu seperti menunjukkan momentum yang semakin melemah dan data tersebut juga disokong oleh kenaikan dalam kadar pengangguran.
“Kadar pengangguran di AS meningkat ke paras 4.3 peratus pada Julai berbanding pada Mac yang lalu pada 3.8 peratus, ia sudah naik secara perlahan-lahan ,” katanya.
Jelas beliau, ia seolah-olah menggambarkan ekonomi AS itu semakin lemah dan menuntut pihak Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk bertukar fokus mereka.
“Jika pada 2022 hingga 2023, fokusnya adalah untuk mengurangkan kadar inflasi, maka pihak Fed menaikkan kadar faedah, namun apabila kadar inflasinya sudah semakin merosot dan memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi, maka mungkin fokusnya sekarang adalah untuk memelihara pertumbuhan ekonomi pula.
“Oleh itu, bagi memelihara pertumbuhan ekonomi mereka, penurunan kadar faedah mungkin suatu dasar yang dianggap sesuai dan sekali gus membantu ringgit untuk naik,” katanya. – UTUSAN