Ringgit dijangka pada RM4.30 hingga 4.38 minggu hadapan - Utusan Malaysia

Ringgit dijangka pada RM4.30 hingga 4.38 minggu hadapan

RINGGIT diramal semakin mengukuh berbanding dolar AS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit terus mengukuh berikutan kombinasi faktor luaran dan tempatan dan dijangka pada kadar RM4.30 hingga RM4.38 sehingga minggu hadapan, kata penganalisis.

Pada pukul 9 pagi semalam, ringgit dibuka kukuh pada 4.3650/3750 berbanding dolar AS daripada sebelum mengakhiri dagangan semalam pada 4.3720/3760.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, faktor luaran yang utama adalah unjuran Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang akan menurunkan kadar faedahnya seawal September.

“Ini akan menyebabkan aliran pelaburan global keluar dari bond perbendaharaan AS kepada pasaran ekuiti dunia termasuklah Malaysia. Justeru, keadaan itu bakal memberikan kesan positif kepada mata wang dunia yang lain.

“Faktor dalaman pula apabila banyak aliran pelaburan asing masuk ke Malaysia kepada pasaran bursa serta pembelian bon dan nota terbitan yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia, turut mengukuhkan nilai ringgit dengan aliran tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, indeks DXY merosot kepada 101.441, paras terendah dalam tempoh tujuh bulan, apabila mata wang utama meningkat berbanding dolar AS.

“Hasil Perbendaharaan AS berjangka dua tahun, yang paling sensitif terhadap kadar dasar bank pusat AS, susut tujuh mata asas kepada 3.99 peratus.

“Selain itu, ringgit diunjurkan disokong dengan baik hari ini kerana prospek pengurangan kadar faedah AS akan mengecilkan perbezaan antara Kadar Dana Fed dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR),” katanya.

Mohd. Afzanizam juga mengenal pasti RM4.30 sebagai paras sokongan serta-merta bagi ringgit berbanding dolar AS.

“Paras sokongan ringgit berbanding dolar AS adalah RM4.30. Justeru, ringgit dijangka sedang bergerak ke arah paras sokongan tersebut,” katanya.

Bagi Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, beliau turut menjangkakan ringgit mengukuh pada kadar RM4.35 hingga RM4.40.

“Pengukuhan ringgit kerana prospek kadar faedah Rezab Persekutuan di AS akan diturunkan semakin menjadi kenyataan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN