Raja Arshad dilantik Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif PHB - Utusan Malaysia

Raja Arshad dilantik Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif PHB

RAJA ARSHAD RAJA UDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) melantik Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa 16 Ogos.

Pelantikan ini dibuat susulan persaraan Tan Sri Ahmad Nizam Salleh pada 1 Ogos lalu.

PHB dalam kenyataan berkata, sebagai tokoh penting dalam sektor awam dan swasta, Raja Arshad membawa bersama pengalaman luas dalam bidang korporat kepada PHB.

“Beliau kini merupakan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Pengerusi Bumi Armada Berhad.

“Raja Arshad juga merupakan Felo Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW) dan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) serta Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), di mana beliau berkhidmat dalam majlisnya selama 24 tahun, tiga daripadanya adalah sebagai Presiden,” katanya dalam kenyataan.

Selain daripada peranannya di dalam bidang korporat, Raja Arshad memegang jawatan penting dalam insitiusi kebajikan.

“Beliau adalah Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor, Yayasan Amir, Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda dan Yayasan TZA. Raja Arshad juga merupakan ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DayaDiri dan Lembaga Zakat Selangor.

“Beliau juga berkhidmat sebagai Canselor Universiti Selangor,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, Lembaga Pengarah dan warga kerja PHB mengalu-alukan kedatangan Raja Arshad.

“Pengalaman luas beliau dalam pengurusan korporat dan kepimpinan institusi akan menjadi aset yang amat berharga dalam memajukan mandat PHB untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pemilikan aset hartanah komersial utama di Malaysia melalui pengurusan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), sebuah dana amanah patuh Syariah,” katanya.

Raja Arshad sebelum ini berkhidmat sebagai Pengerusi Ekuiti Nasional Berhad, Maxis Berhad, Icon Offshore Berhad, Danamodal Nasional Berhad dan Pengarah Khazanah Nasional Berhad.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia, Pengerusi Pasukan Kepimpinan PwC Asia 7 dan Ahli Lembaga IFS Global PwC.

Raja Arshad juga telah banyak menyumbang di dalam sektor awam, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia, ahli Majlis Penasihat Piawaian Lembaga Piawaian Perakaunan Antarabangsa; serta ahli Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Panel Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Lembaga Pemegang Amanah Balai Seni Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN