PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan penstriman hiburan terkemuka dengan kandungan berkaitan Islam, Muslim Pro menerusi platformnya, Qalbox mencetuskan era baharu hiburan berasaskan kerohanian apabila melancarkan platform video disokong iklan atas permintaan (AVOD) secara percuma.
Perkembangan positif ini menetapkan penanda aras penting dalam misi Qalbox untuk menjadikan kandungan berasaskan kerohanian lebih mudah diakses oleh penonton yang lebih meluas di seluruh dunia.
Direka untuk mengubah cara umat Islam meningkatkan aspek kerohanian dalam diri, Qalbox AVOD mencetuskan inspirasi apabila tampil dengan kandungan berskala besar, bersifat pembelajaran dan menghiburkan, yang boleh ditonton secara percuma.
Qalbox bermatlamat untuk meningkatkan hubungan kerohanian dan memperkasakan komuniti Muslim global dengan menjadikan kandungan berasaskan kerohanian lebih mudah diakses.
Platform ini bukan sahaja menawarkan kualiti terbaik bagi setiap kandungannya, malah gabungan antara muka yang mesra pengguna dan cadangan kandungan yang diperibadikan dapat memastikan pengalaman tontonan lebih baik.
Kepelbagaian kandungan yang ditawarkan Qalbox AVOD dijangka memberi inspirasi dan hiburan, bermula daripada filem keluarga yang menyentuh kalbu hinggalah kandungan bersifat dokumentari, program kanak-kanak dan pelbagai lagi.
Dengan kandungan menjangkaui ratusan jam siaran, platform ini bakal membawakan perspektif global merentasi pengalaman umat Islam menerusi kepelbagaian karya dari pelbagai rantau termasuk Turkiye, Amerika Syarikat (AS), Mesir, United Kingdom (UK), Malaysia, dan banyak lagi.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bitsmedia, Nafees Khundker, berkata, Pelancaran Qalbox AVOD adalah pencapaian yang mengujakan kerana dapat meneruskan misi menjangkaui sempadan dan menjadikan hiburan kerohanian mudah diakses oleh semua.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan para ulama yang dihormati untuk memastikan kandungan kami tepat dan bermanfaat. Semua inisiatif ini adalah untuk memastikan Qalbox AVOD dapat menawarkan lebih daripada sekadar hiburan, malah memberi inspirasi dan mendidik, sekali gus memperkasakan kehidupan penonton kami,” katanya.
Qalbox AVOD menjangkaui sempadan hiburan dengan menawarkan peluang yang unik kepada jenama berasaskan Islamik bagi mewujudkan hubungan yang lebih bermakna bersama khalayak sasaran mereka.
Dengan menggabungkan misi Qalbox bagi memacu identiti umat Islam, jenama berkaitan dapat membina hubungan dan menarik pelanggan setia untuk kekal bersama.
Pilihan pengiklanan bersasar menerusi platform ini membolehkan perniagaan menyampaikan mesej yang berkesan kepada pelanggan mereka.
Menerusi pelancaran Qalbox AVOD, Qalbox mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam ruang lingkup kandungan berpaksikan umat Islam.
Platform itu komited untuk menawarkan kandungan berasaskan kerohanian berkualiti tinggi secara percuma, di mana langkah ini memberi impak yang signifikan kepada komuniti Islam global.
“Qalbox AVOD adalah lebih daripada sekadar pengiklanan. Ia merujuk kepada kerjasama dengan platform yang berkongsi nilai-nilai kebersamaan. Pembabitan dengan penonton yang khusus, pengiklan dapat menyumbang ke arah peluasan kandungan yang bermakna dan bermaklumat, selain dalam masa sama mengembangkan jenama mereka,” tambah Nafees.- UTUSAN