PTP pecah rekod kendalian kontena pada Jun 2024 - Utusan Malaysia

PTP pecah rekod kendalian kontena pada Jun 2024

EKSPORT pada Julai 2024 meningkat bagi empat bulan berturut-turut, berkembang 12.3 peratus kepada RM131.15 bilion, manakala import naik 25.4 peratus kepada RM124.73 bilion.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP), usaha sama di antara MMC Group Malaysia dengan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda, mencatatkan satu lagi pencapaian cemerlang apabila mengendalikan kontena sejumlah 1,115,181 unit bersamaan 20 kaki (TEU) dalam tempoh sebulan tanpa mengalami sebarang kesesakan.

Pencapaian baharu ini memecahkan rekod tinggi PTP sebelumnya sebanyak 1,077,747 TEU yang dicapai pada Mei tahun yang sama.

Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, ini bukan sahaja menjadikan PTP sebagai pelabuhan pertama di Malaysia yang mencapai kejayan ini secara berturut-turut, tetapi juga mengukuhkan kedudukan PTP sebagai antara hab maritim dan pemindahan penghantaran terkemuka, baik di peringkat serantau mahupun global.

“Kemampuan kami untuk mencapai prestasi pecah rekod ini tanpa kesesakan pelabuhan memperkukuhkan status PTP sebagai penghubung yang unik dan bernilai dalam rantaian bekalan global,” katanya dalam kenyataan.

Che Khalib berkata, pencapaian tersebut diraih walaupun di tengah- tengah persekitaran perkapalan global yang mencabar.

“Dengan menguruskan jumlah kargo yang begitu besar dengan lancar, PTP juga menunjukkan keupayaan kami untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan dan rakan kongsi kami, sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Jelas beliau, kesesakan pelabuhan yang ketara di hampir semua benua dan rantau kini telah menjadi isu global yang kritikal, mengakibatkan kelewatan besar dalam jadual kapal dan gangguan serius kepada rantaian bekalan di seluruh dunia.

“Ini telah menyebabkan peningkatan kos dan tekanan inflasi, yang memberi kesan bukan sahaja kepada pengangkut kontena lautan dan pelabuhan, tetapi juga kepada pengguna akhir.

“Kesesakan ini terutamanya disebabkan oleh serangan militan terhadap kapal komersial dikenali sebagai Krisis Laut Merah, yang memaksa syarikat perkapalan mengalihkan perjalanan kapal melalui laluan lebih panjang mengelilingi Afrika untuk tujuan keselamatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, usaha PTP dalam mencapai pertumbuhan yang mampan sambil terus berkembang disokong oleh penekanan yang ketara terhadap penambahbaikan aset pelabuhan dan kerja infrastruktur kumpulan.

“Ini juga selaras dengan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dasar keselamatan, dan pelan hala tuju strategi pendigitalan kami.

“Pendekatan strategik ini membolehkan PTP menghadapi cabaran kesesakan pelabuhan global dengan berkesan, sambil membolehkan penambahbaikan dan pengembangan yang berterusan,” katanya.

Baru-baru ini, PTP telah diberi penghormatan sebagai pemenang Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) tahun ini untuk Sektor Perkhidmatan dalam Kategori 4, dan meraih Anugerah Kecemerlangan Perniagaan British Malaysia Chamber of Commerce (BMCC) yang kelima dalam kategori ESG Cemerlang.

Selain itu, PTP juga mendapat pengiktirafan berprestij sebagai pelabuhan kontena kelima paling efisien di dunia oleh Bank Dunia dan S&P Global Market Intelligence dalam Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena (CPPI) 2023 yang terbaharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya