PETALING JAYA: Proton X70 2025 dilancarkan di Sabah dan Sarawak setelah diperkenalkan kepada umum pada 15 Ogos lalu, menandakan kali pertama Proton mengadakan pelancaran berasingan untuk model kenderaan utiliti sukannya (SUV) khusus untuk pelanggan di sana.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata, pihaknya sangat teruja untuk memperkenalkan X70 2025 ke Sabah dan Sarawak, dua negeri yang semakin penting bagi Proton.
“Majlis ini lebih daripada sekadar memperkenalkan kenderaan baru. Iadalah tentang memperkukuhkan komitmen kami kepada Sabah dan Sarawak.
“Keperluan unik pembeli di sini dan hubungan mereka yang kuat dengan jenama ini sentiasa mendorong kami untuk menyampaikan produk dan perkhidmatan terbaik.
“Dengan ciri-ciri yang dikemas kini dan gaya yang dipertingkatkan, kami berharap X70 2025 akan membawa Proton ke kedudukan teratas dalam pasaran SUV premium di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan.
Setelah membuat penampilan pertama pada 12 Disember 2018, SUV segmen C Proton ini telah menerima pelbagai penambahbaikan yang membawa ia ke barisan hadapan kelasnya.
Katanya, dengan gaya luaran yang segar, peralatan dalaman yang dipertingkatkan, teknologi keselamatan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) tahap dua yang canggih, X70 2025 dijangka memberi impak besar kepada pencinta SUV di seluruh negara.
“X70 bukan sahaja telah merevolusikan segmen SUV premium di Malaysia tetapi juga memainkan peranan penting dalam kejayaan Proton di Sabah dan Sarawak, dengan sumbangan yang ketara kepada angka jualannya.
“Sepanjang lima tahun yang lalu, X70 telah menjadi pilihan utama pelanggan di seluruh Malaysia, dengan lebih 100,000 unit terjual dan tujuh anugerah berprestij,” ujarnya.
Pembuat kereta nasional itu berkata, di peringkat global, rakan sejawat Proton X70, Geely Boyue, juga telah mencapai kejayaan luar biasa dengan lebih daripada 1.8 juta unit terjual di 49 negara.
Tambahnya, untuk meraikan pelancaran ini, Proton menawarkan nilai tambahan sehingga RM23,500 tanpa kos tambahan untuk 3,000 pelanggan pertama yang mendaftar X70 2025 mereka.
“Model baharu ini juga datang dengan jaminan lima tahun tanpa had jarak perjalanan, pakej data lima tahun dengan satu gigabit (GB) sebulan dan enam perkhidmatan buruh percuma.
“Untuk menangani kebimbangan sebelum ini tentang ketersediaan alat ganti di Sabah dan Sarawak, Proton telah membuat pelaburan besar dalam rangkaian alat gantinya dengan membuka dua Pusat Alat Ganti Wilayah (RPC) baharu di Sabah dan Sarawak.
“Satu di Kuching pada Februari 2023 dan satu lagi di Kota Kinabalu yang dilancarkan hanya tiga minggu yang lalu,” ujarnya. – UTUSAN