Proton buka RPC baharu di Kota Kinabalu - Utusan Malaysia

Proton buka RPC baharu di Kota Kinabalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Pengeluar kereta nasional, Proton melancarkan pusat pergudangan bahagian baharu (RPC) di Kota Kinabalu, Sabah, selepas pelancaran kemudahan sama di Sarawak tahun lepas.

Menurut kenyataannya, tambahan terbaharu kepada operasi penyimpanan dan pengedaran alat ganti syarikat ini mampu mengurangkan masa penghantaran alat ganti sebanyak 30 peratus.

Katanya, ini berikutan peningkatan kapasiti pengeluaran daripada Proton Parts Centre Sdn. Bhd. (PPCSB) di Malaysia Barat serta alat ganti yang diperoleh melalui penghantaran terus dari luar negara.

“Ini adalah untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di negeri ketiga tertinggi untuk penjualan kenderaan Proton di Malaysia.

“Terletak di kawasan komersial di Inanam, RPC terbaharu Proton mempunyai ruang lantai kira-kira 28,000 kaki persegi iaitu 2.5 kali ganda lebih besar daripada lokasi sebelumnya.

“Ia boleh menerima sebanyak enam kontena alat ganti di lokasi secara serentak berbanding dua kontena sebelum ini. Kemudahan ini kini boleh memproses purata 26 kontena sebulan untuk memanfaatkan sepenuh keupayaannya menyimpan stok selama tiga bulan,” katanya.

Tambahnya, dengan lebih banyak ruang penyimpanan untuk alat ganti, masa penghantaran ke pengedar dan pelanggan dapat dikurangkan.

Naib Presiden Jualan dan Selepas Jualan Proton Edar, Edmund Lim berkata, pembukaan fasiliti baharu di Kota Kinabalu ini akan melengkapkan fasiliti yang sedia ada di Kuching dan kedua-duanya akan berfungsi secara kolektif sebagai pusat pengedaran alat ganti dan komponen selepas jualan untuk Malaysia Timur.

“Peningkatan keseluruhan dan penyimpanan ini telah mewujudkan penampan untuk lonjakan dan turun naik permintaan, membolehkan kami meningkatkan daya pemprosesan alat ganti.

“Setakat ini, kami sedang menangani dengan pantas tunggakan pesanan daripada pengedar dan pelanggan kami di pasaran ini,” ujarnya.

RPC PROTON di Malaysia Timur boleh mengendalikan sehingga 28 kontena dari Malaysia Barat dan luar negara setiap bulan iaitu peningkatan kapasiti daripada 24 kontena sebulan.

Dengan peningkatan penghantaran alat ganti, pemenuhan pesanan syarikat di Sabah dijangka akan meningkat secara pesat dengan keupayaan untuk menyimpan stok selama tiga bulan.

Pada 2023, jualan kenderaan Proton di Malaysia Timur menyumbang 15.8 peratus kepada jumlah jualan keseluruhan syarikat.

Model Proton yang paling laris adalah Proton Saga dengan 13,700 unit, diikuti oleh Persona dengan 4,264 unit dan X50 dengan 2,955 unit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya