Projek WCE capai 94 peratus, jangka siap pada 2026 - Utusan Malaysia

Projek WCE capai 94 peratus, jangka siap pada 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Projek Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) telah mencapai 94 peratus bagi kemajuan keseluruhan semasanya dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun kewangan 2026.

Menurut kenyataan,Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Berhad (WCEHB), Lyndon Alfred Felix berkata, fokus strategik kumpulan adalah untuk menyelesaikan Projek WCE dengan jayanya menjelang tahun kewangan 2026.

“Kami optimis bahawa pembukaan Seksyen 1 dan 2 yang akan datang akan menyumbang kepada pertumbuhan trafik kami.

“Seksyen 1 (Banting – Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dijadualkan untuk dibuka pada 30 Ogos 2024 dan Seksyen 2 (SKVE – Lebuhraya Shah Alam (KESAS) disasarkan untuk dibuka pada suku ketiga tahun wangan 2025.

“Penyelesaian seksyen-seksyen ini juga akan menyediakan sambungan ke lebuh raya sedia ada, iaitu SKVE dan KESAS,” katanya.

Jelasnya, projek WCE berfungsi sebagai laluan alternatif penting untuk mengurangkan kesesakan di jalan sedia ada.

“Ia juga merupakan penghubung utama ke lebuh raya lain seperti SKVE, KESAS, Lebuhraya Persekutuan, Grand Shapadu, Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) dan Lebuhraya Utara Selata (PLUS).

“WCE merupakan pemangkin penting untuk merangsang pembangunan ekonomi di sepanjang kawasan pesisir Selangor dan Perak.

“Ia juga memudahkan perdagangan, merancakkan pelancongan tempatan, dan menggalakkan pertumbuhan industri yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat di sepanjang koridor pesisir barat.

“Di samping itu, kedekatannya dengan pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang, Pelabuhan Lumut dan Pelabuhan Pulau Pinang serta kawasan yang lebih landai, menjadikannya lebih kondusif untuk kenderaan komersial,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini, enam daripada 11 seksyen telah dibuka untuk lalu lintas dan kutipan tol telah bermula.

“Seksyen-seksyen tersebut adalah Seksyen 5 (New North Klang Straits Bypass (NNKSB) – Bandar Bukit Raja Utara), Seksyen 6 (Bandar Bukit Raja Utara – Assam Jawa), Seksyen 8 (Hutan Melintang – Teluk Intan), Seksyen 9 (Kampung Lekir – Changkat Cermin), Seksyen 10 (Changkat Cermin – Beruas), dan Seksyen 11 (Beruas – Taiping Selatan).

Jelasnya, dua seksyen tambahan telah dibuka, iaitu Seksyen 6 dan Seksyen 11 masing-masing pada November 2023 dan Mac 2024 pada tahun kewangan 2024,.

“Pembukaan Seksyen 6 dan Seksyen 11 telah meningkatkan jumlah trafik harian WCE secara signifikan, di mana purata trafik harian sekyen suku pertama tahun kewangan 2025 meningkat sebanyak 115 peratus berbanding suku tahun sebelumnya.

“Pada tempoh perayaan Raya baru-baru ini pada April, volum trafik mencapai 350,000 purata trafik harian seksyen, mewakili lonjakan sebanyak 150 peratus daripada rekod sebelumnya sebanyak 140,000 pada Disember 2023.

“Pada masa ini, purata trafik sectional kami adalah sekitar 120,000 dan hasil tol bulanan sekitar RM10 juta,” katanya

Dalam keputusan kewangan suku pertama tahun kewangan 2024 yang baru-baru ini diumumkan, kumpulan itu melaporkan peningkatan ketara sebanyak 93 peratus dalam hasil tol, meningkat daripada RM13.5 juta pada suku tahun sebelumnya kepada RM26.1 juta.

“Kumpulan yakin bahawa hasil tol akan terus meningkat apabila dua seksyen tambahan dibuka untuk trafik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN