Projek solar berskala besar bakal dibina di Terengganu - Utusan Malaysia

Projek solar berskala besar bakal dibina di Terengganu

BURHANUDDIN Hilmi Mohamed @ Harun (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Shizen International Inc, Ryo Ogawa (kanan) menunjukkan dokumen perjanjian MoU yang dimeterai di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Terengganu bakal memiliki satu lagi projek solar berskala besar dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara anak syarikat kerajaan negeri iaitu Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. dengan syarikat dari Jepun iaitu Shizen International Inc.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, MoU tersebut akan mengukuhkan lagi komitmen kedua-dua belah pihak untuk meneroka potensi tenaga boleh diperbaharui di Terengganu melalui projek loji janakuasa tenaga solar.

Menurutnya, melalui MoU itu, Terengganu Inc berharap dapat merealisasikan hasrat untuk meneroka dan mempelopori projek pemasangan solar sekaligus meningkatkan pendapatan negeri melalui ekonomi teknologi hijau.

“Ini adalah langkah awal Terengganu Inc dan Shizen International Inc untuk melonjakkan penyertaan dalam program Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) untuk mengurangkan risiko dan kos sistem pembekalan elektrik negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis menandatangani MoU tersebut di sini, semalam.

Shizen International adalah anak syarikat Shizen Energy Inc yang terlibat aktif dalam pembangunan serta pengendalian kemudahan tenaga boleh diperbaharui di seluruh Asia, Oceania dan Amerika Latin.

Penglibatan itu merangkumi loji jana kuasa angin dan solar dan sehingga kini Shizen Energy Group berjaya membangunkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 1,321.7 megawatt di Jepun dan peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama itu juga adalah selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan mempromosikan penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan.

“Ini juga bakal memperkukuhkan profil negeri sebagai peneraju dalam ekonomi hijau berbanding negeri-negeri lain, sekaligus menarik rakan-rakan potensi pelaburan yang lebih besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) pada masa akan datang.

“Pembangunan ini akan memberikan manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan, peluang perniagaan, serta penyediaan latihan dan peningkatan kemahiran kepada penduduk tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya