PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) melancarkan inisiatif pelesenan jenama pertamanya dengan kerjasama SIM Distribuidora (SIM), yang akan mengendalikan tiga stesen runcit bahan api perintis di Brazil.
Terletak secara strategik di lokasi bandar utama, tiga stesen runcit bahan api berjenama Petronas akan menyediakan pelanggan dengan akses mudah kepada penyelesaian bahan api berprestasi tinggi syarikat tersebut.
Ini termasuk bahan api Petronas Primax dengan teknologi aditif bahan api proprietari, pelincir Petronas Syntium dan perkhidmatan lain yang direka untuk meningkatkan pengalaman pelanggan kepada pemandu harian di jalan raya berdasarkan pembelajaran dan teknologi yang diambil dari trek Formula Satu.
Naib Presiden Penapisan, Perdagangan dan Pemasaran Petronas, Ahmad Adly Alias berkata, buat pertama kalinya, pelanggan di Brazil boleh merasai pengalaman produk Petronas yang diperoleh daripada ‘Penyelesaian Teknologi Bendalir’ syarikat yang memenangi anugerah dan memacu juara dalam Formula Satu.
“Selain itu, barisan kenderaan Brazil yang besar di rantau Amerika Latin memberikan kami peluang untuk memanfaatkan pangkalan pelanggan yang lebih luas.
“Kami teruja untuk mempunyai pelanggan Brazil yang mungkin telah melihat logo kami di litar Autodromo Jose Carlos Pace atau Interlagos mengalami sendiri penguasaan penyelesaian termaju kami, melangkaui pelincir,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, model perkongsian ini merupakan pendekatan pelesenan jenama pertama Petronas untuk memasuki segmen runcit baharu dalam pasaran global.
Melalui model ini Petronas melesenkan jenama dan formulasi bahan apinya kepada peruncit bahan api bebas yang ditubuhkan dengan memanfaatkan kekuatan operasi dan kepakaran mereka dalam pasaran masing-masing.
Model ini melihat rakan kongsi mengambil aspek kewangan dan operasi stesen runcit bahan api.
Sementara itu, Presiden Kumpulan Argenta, syarikat induk SIM, Neco Argenta berkata, pihaknya berbangga untuk melancarkan tiga stesen pertama ini dan membangunkan perkongsian strategik ini dengan Petronas di Brazil.
“Kami percaya ini akan menjadi pilihan baharu yang menakjubkan untuk pengguna dan peniaga kami,” ujarnya.
SIM ialah rakan kongsi sedia ada kepada Petribas sebagai pengedar sah bagi cabang pelincirnya sejak 2022 dan mempunyai rangkaian 540 stesen runcit di tiga negeri di wilayah selatan Brazil. – UTUSAN